Maut Tertusuk Besi Terpelanting

on Wednesday, July 3, 2013



INILAH kereta Proton Wira milik Ooi Yean Teong (gambar kecil) yang pecah cermin depan selepas dihentam plat besi sebelum menusuk leher mangsa hingga maut di Teluk Intan, Perak kelmarin.

TELUK INTAN - Seorang lelaki terbunuh selepas lehernya tertusuk plat besi yang terpelanting ke dalam kenderaannya di Kilometer 42, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Ooi Yean Teong, 51, yang bekerja sebagai penimbang kelapa sawit dipercayai terlanggar plat besi berkenaan yang kemudiannya terpelanting memecahkan cermin hadapan Proton Wira yang dipandunya.

Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan pulang selepas makan malam di sebuah restoran di Sitiawan.

"Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa dikatakan terlanggar sebatang plat besi melengkung yang kemudiannya melantun ke dalam kenderaan melalui cermin hadapan.

"Malangnya, besi berkenaan terkena pada leher mangsa sehingga menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp


Anjakan Hidup Waris


REMBAU MOST WANTED barangkali sebuah lagu yang dihasilkan secara suka-suka oleh seorang jejaka dengan pengenalan nama Waris.
Bagaimanapun, ia meledak seperti 'bom' apabila lagu tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan. Loghat Negeri Sembilan yang digunakan Waris telah membuat dirinya 'terpilih' untuk masuk sebagai pendatang baharu dunia seni suara tanpa perlu bersusah payah.
Muzzammil Alias, begitu nama asal penyanyi yang baru berusia 24 tahun ini. Kini, selepas hampir setahun bergelumang dalam dunia seni, dia semakin hampir dapat menggapai impiannya.
Salah satu impian yang sekian lama dipendam ialah untuk berduet dengan penyanyi terkenal, Datuk Hattan. Dan, akhirnya, impian itu termakbul.
Menerusi lagu Ke Jelobak Ke Jolobu ciptaan Waris sendiri, Hattan bersetuju menyanyikan lagu itu bersamanya malah, pelantun lagu Biso Bonar itu cukup percaya dengan kreativiti penyanyi itu.
"Saya mengenali dia (Waris), malah saya juga diberitahu Waris meminati saya dan ingin berkolaborasi. Saya setuju dan percaya 300 peratus dengan kreativiti Waris," tutur Hattan ketika ditanya mengenai Waris.
Lagu Ke Jelobak Ke Jolobu tersebut sekali gus menjadi single ketiga Waris selepas lagu 'berhantu', Rembau Most Wanted dan Botingkek (nyanyi bersama penyanyi rap Juzzthin).
Mengulas mengenai single ketiganya itu, ungkap Waris, jika lagu Botingkek mengisahkan tentang padah apabila berbelanja tanpa berpada-pada, lagu Ke Jelobak Ke Jolobu pula menceritakan mengenai nama tempat.
"Sudah lama sebenarnya saya meminati Datuk Hattan dan teringin untuk berkolaborasi dengannya.
"Syukur, dia terima. Single ketiga saya bersama dia (Hattan) masih mengekalkan dialek Negeri Sembilan," ujarnya.



Sejak lagu Rembau Most Wanted dimuat naik oleh Waris di YouTube sekitar bulan Februari lalu, ia telah meraih perhatian yang cukup meluas.
Buktinya, selama dua bulan di laman sosial YouTube, jumlah tontonannya mencecah lebih 600,000 orang malah Rembau Most Wanted juga meraih perhatian DJ Fuzz.
"Saya tidak pernah sangka lagu itu akan meletop (popular). Begitupun, saya akui ramai yang mengenali lagu tersebut tetapi bukan penyanyinya. Kawan-kawan saya di universiti juga tidak mengenali saya ketika itu," tuturnya yang turut mendapat tawaran berlakon.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Ana Dahlia anak emas Suhan Movies



ANA DAHLIA merupakan pelakon utama drama Cinta Yang Satu dan Dia Tetap Ayah.

SEMEMANGNYA diakui rezeki Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. melimpah ruah apabila apa sahaja produk keluaran syarikat produksi gergasi tersebut pasti berjaya menembusi tembok kukuh pelbagai stesen televisyen di negara ini.

Laluan seperti terbentang luas di depan mata bagi pemilik produksi, Rosyam Nor untuk memasarkan drama-drama terbitan syarikatnya baik di stesen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun stesen swasta sejak beberapa tahun lalu.

Terbaharu, dua buah drama terbitan syarikat itu berjudul Dia Tetap Ayah akan ditayangkan di Astro Prima manakala Cinta Yang Satu di TV2.
ROSYAM NOR

Kedua-dua drama terbitan Suhan Movies itu menampilkan Ana sebagai pelakon utamanya. Namun penerbit drama tersebut, Rosyam Nor menyatakan ia cuma kebetulan rezeki Ana untuk menjadi pelakon utama.

"Sebenarnya saya sememangnya mengutamakan anak didik saya daripada program realiti TV, Pilih Kasih seperti yang saya berikan kepada Ana.

"Hakikatnya, bukan senang untuk artis dapat watak yang betul-betul kena dengan watak yang diberi, malah saya sudah berjanji pada mereka dalam masa dua tahun mereka akan dikenali dengan syarat mereka ada komitmen dan kekuatan sendiri," ujarnya tegas.

Rosyam juga memberitahu, biarpun kedua-dua karya tersebut menggunakan khidmat Ana, watak yang dimainkan cukup berbeza antara satu sama lain.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Wala Dihimpit Dilema


KUMPULAN Wala beraksi di pentas final Raja Lawak 7 bersama Johan (kiri) dan Zizan (tengah, duduk).

LAWAK yang konsisten dan cukup mencuit hati telah menjulang kumpulan Wala sebagai juara program Raja Lawak musim ketujuh.

Kumpulan yang dianggotai oleh Wan Mustapha Muntek, 30, dan Walawd Parman, 28, berasal dari Sabah itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi kemenangan.

Menewaskan tiga kumpulan lain iaitu Sakan, Bora dan Gamat dengan mendapat sebanyak 50 peratus undian daripada penonton, kumpulan Wala sememangnya layak bergelar juara.

“Kami tidak jangka akan sampai ke final dan menjadi juara. Memang terkejut tetapi dalam masa yang sama gembira kerana selepas berhempas pulas mencari idea, lawak kami dihargai penonton,” ujar Wan.

Kemenangan itu juga secara automatik melayakkan mereka menyertai program Maharaja Lawak Mega yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Meskipun teruja dengan masa depan mereka dalam bidang seni, tetapi mereka masih berat hati untuk bergelar artis sepenuh masa dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis di Sabah.

“Menyertai program Maharaja Lawak Mega adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Buat masa ini, kami tidak boleh beri kata putus tentang masa depan dalam bidang seni kerana kami juga sayangkan kerja sebagai anggota polis.

“Perkara ini harus difikir masak-masak, mungkin untuk Maharaja Lawak Mega, kami akan mengambil cuti tanpa gaji seperti yang kami lakukan untuk menyertai program Raja Lawak.

“Seterusnya, kami akan lihat dahulu keadaan. Memang seronok jadi artis kerana saya juga suka berlakon, tetapi sekarang kami tidak boleh berfikir apa-apa,” ujar Wan yang akan mendermakan sebahagian wang kemenangan ke rumah anak yatim di Tuaran, Sabah.

Selain itu, Wan juga telah menyimpan niat untuk menghantar ibu bapanya menunaikan umrah jika bergelar juara, manakala, teman seperjuangannya, Walawd pula akan menggunakan wang kemenangannya untuk melangsaikan segala hutangnya.

sumber : http://www.kosmo.com.my

Rai Ulangtahun Penceraian



NAMPAKNYA penceraian Katie Holmes dan Tom Cruise memberi kesan yang besar dalam bagi diri wanita itu.

Masakan tidak, bintang filem Batman Begins itu dikatakan akan mengadakan pesta besar-besaran bagi meraikan ulang tahun penceraiannya tidak lama lagi. Dahsyat tu...

Menurut laporan The Sun, pesta itu akan dilangsungkan di salah sebuah hotel di Manhattan, New York dan dikhabarkan beberapa teman rapat Holmes akan turut hadir.

Apa yang dilakukan oleh Holmes adalah untuk menyatakan rasa terima kasihnya kepada mereka yang banyak menyokongnya selama ini.

"Holmes ingin mengungkapkan rasa terima kasih kepada banyak orang kerana telah membantunya di kala dia menghadapi proses penceraian. Tanpa orang disekeliling, tidak mudah untuk dia melalui apa yang dihadapinya dahulu," jelas seorang teman rapat.

Penceraian bersama dengan Cruise pada pertengahan 2012 memang mengejutkan Hollywood dan peminat-peminat mereka.

Apatah lagi pasangan itu sebelum ini tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda keretakan rumah tangga.

Selepas bercerai secara rasmi, kehidupan seharian Holmes dikhabarkan banyak dihabiskan bersama dengan anaknya, Suri Cruise.

Selain itu, dia juga menceburkan diri dalam bidang perniagaan demi kelangsungan hidup setelah tidak lagi bergelar isteri.

sumber : http://www.utusan.com.my/


Kadar Zakat Fitrah 2013/1434H Negeri Seluruh Malaysia

Kadar Zakat Fitrah 2013/1434H Negeri Seluruh Malaysia | Tak lama lagi Ramadhan akan mejelma lagi dan pastinya disaat ini ramai yang tertanya kadar zakat fitrah bagi tahun 2013 di seluruh negeri Malaysia.


Kadar Zakat Fitrah 2013/1434H Negeri Seluruh Malaysia

Berdasarkan analisis, kadar zakat fitrah 2013/1434H tidak akan jauh berbeza dari kadar zakat fitrah 2012 yang lalu.

Dibawah terdapat kadar zakat fitrah 2013 bagi negeri seluruh Malaysia.


Kadar Zakat Fitrah 2013/1434H Negeri Seluruh Malaysia

Waktu Membayar Zakat Fitrah

Waktu Wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
Waktu paling afdal: Sebelum Solat Sunat Aidilfitri
Waktu Sunat: Sepanjang bulan Ramadhan
Waktu makruh: Selepas solat sunat Aidilfitri dan terbenam matahari 1 Syawal.
Waktu Haram: Selepas terbenam matahari 1 Syawal

Kepada mereka yang ingin bayar zakat fitrah, boleh dibuat di masjid atau surau di seluruh negeri termasuk di kompleks membeli belah yang menyediakan Amil Zakat. sumber


Ainan Tasneem Enggan Bergambar Dengan Lelaki Elak Fitnah

Ainan Tasneem Enggan Bergambar Dengan Lelaki Elak Fitnah | Ainan Tasneem yang popular menerusi lagu Aku Suka Dia bertegas untuk tidak bergambar secara berdua-duaan dengan artis lelaki walaupun untuk sesi fotografi media.

Ainan Tasneem Enggan Bergambar Dengan Lelaki Elak Fitnah

Menurut Ainan, keputusan itu dibuat bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah selain ingin menjaga nama baik keluarganya.

"Saya bertekad untuk tampil bersih dan tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi termasuk bergambar dengan artis lelaki kecuali secara beramai-ramai.

"Keputusan itu dibuat bagi menghargai kepercayaan dan kebebasan yang diberikan oleh keluarga untuk saya bergiat aktif dalam bidang nyanyian," katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Aku Suka Dia di Hotel Royal di sini, Selasa.

Album yang mengandungi lima buah lagu itu diterbitkan oleh syarikat MVM Productions. Tambah Ainan lagi, album yang dilancarkan itu bagi memenuhi permintaan peminat yang sering bertanya tentang perkara itu kepadanya.

Menurutnya, walaupun hanya memuatkan lima buah lagu dia akan tampil dengan album penuh pada penghujung tahun ini dan akan mempelbagaikan genre muzik untuk pendengar.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.

Dalam perkembangan sama, bapa kepada Ainan iaitu Dr Ridzuan Mohd Sagir yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pada mulanya dia keberatan untuk membenarkan anaknya itu terlibat secara serius dalam bidang nyanyian.

Ini kerana katanya dia lebih suka melihat Ainan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian di Universiti Malaysia Perlis dalam bidang Kejuruteraan Bioproses sehingga tamat.

"Lama saya mengambil masa untuk memberi keputusan namun melihat kepada penerimaan peminat dan yakin dia dapat menjadi contoh kepada remaja yang lain, saya benarkan.

"Pun begitu saya meletakkan beberapa syarat seperti menjaga maruah diri, merendah diri dan bersederhana supaya dia sentiasa ingat tujuan asal untuk bergelar penyanyi," jelasnya.

Tambah Ridzuan, sejak di bangku sekolah rendah lagi anaknya itu memang gemar menyanyi dan banyak menyertai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan negeri. sumber