Seorang wanita sarat mengandung enam bulan ditemui dalam keadaan tidak bermaya tersandar di tembok tangga berdekatan taman permainan sebelum diselamatkan pihak polis di Dataran Keris, dekat sini petang kelmarin.
Ana Nazirah Md Idriss, 27, berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ditemui sebuah keluarga kira-kira jam 6 petang sebelum mendekati wanita berkenaan yang kelihatan sugul.
Sumber berkata, ketika didekati wanita berkenaan dalam keadaan sangat lemah dan keletihan.
"Keluarga terbabit cuba membantu Ana yang mengandung anak keempat itu namun dia hanya mendiamkan diri," katanya.
Ketika ditanya bagaimana wanita itu boleh tiba di Alor Gajah, Ana hanya mengalirkan air mata dan mendakwa tidak mengingati apa yang berlaku.
"Ana hanya meminta membelikannya air dan sedikit makanan kerana terlalu lapar selepas beberapa hari tidak menjamah apa-apa.
"Wanita itu diberikan roti dan sebungkus air milo sambil ditenangkan beberapa orang awam serta anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian," katanya.
Menurut sumber, wanita berkenaan mendakwa tidak mengikut sesiapa dan hanya membawa sebuah beg berisi MyKad serta sehelai baju panas berwarna hitam.
"Ketika ditanya mengenai suami dan tiga anaknya dia memberitahu mereka ada di Pulau Pinang sebelum menangis menyatakan hasrat hendak pulang semula ke rumah.
"Ana dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menjalani pemeriksaan apabila wanita itu mengadu mengalami kesakitan pada badan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Shahrawati Shahrudin berkata, untuk sementara waktu wanita berkenaan diletakkan di bawah jagaan hospital berikutan kondisi badannya masih lemah.
"Dia diletakkan di bawah jagaan hospital sebelum diserahkan kepada JKM yang cuba membantu menjejaki keluarga wanita berkenaan.
"Difahamkan Ana berada dalam keadaan tertekan sehingga tidak mampu mengingati bagaimana dia boleh melalui perjalanan sejauh ini," katanya.
Menurutnya, JKM akan mengambil alih memantau keadaan Ana sekiranya dia berada dalam keadaan stabil sebelum membantunya pulang semula ke Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan penemuan wanita hamil berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan.