Calon adik-beradik, pertembungan keluarga warnai PRU13

on Sunday, April 21, 2013




KUALA LUMPUR - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan menyaksikan pertembungan calon yang mempunyai pertalian keluarga di beberapa buah kerusi Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pertembungan paling mencuri tumpuan pastinya membabitkan adik-beradik Kitingan di Sabah di kerusi Parlimen Keningau antara Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan adiknya Datuk Dr Jeffrey daripada Parti Reformasi Negeri (Star).

Ini merupakan percubaan kedua Dr Jeffrey selepas tewas kepada abangnya pada dua pilihan raya umum sebelum ini.   

Turut menarik perhatian ialah penglibatan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan adiknya Khalid, masing-masing di Parlimen Johor Baharu dan Shah Alam.

Walaupun bersaudara, perjuangan dan ideologi politik yang berbeza membawa mereka ke gelanggang berlawanan, Shahrir akan mempertahankan kerusi Johor Baharu atas tiket BN manakala Khalid melalui PAS.

Sementara itu, di utara Semenanjung kedudukan Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mungkin tergugat apabila bakal ditentang sepupunya, Mohd Fadzillah Mohd Ali daripada BN di kerusi DUN Sungai Limau yang disandangnya ketika ini.

Selain itu, penyertaan dua bersaudara pada PRU13 ini juga dapat disaksikan menerusi pencalonan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail (BN) di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala adiknya Datuk Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR yang akan bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu, meninggalkan kerusi Kubang Kerian, Kelantan yang dimenanginya pada 2008.

DUN Tenang dan Buloh Kasap di Johor juga menyaksikan kehadiran calon BN adik-beradik membabitkan Mohd Azhar Ibrahim di DUN Tenang dan adiknya Norshida, yang bertanding di DUN Buloh Kasap.

Di Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan bapa saudaranya Syed Hamid Syed Mohamed akan bertarung mempertahankan kerusi DUN Kerdau dan Kuala Semantan, masing-masing atas tiket BN dan PAS.

Di Shah Alam, Datuk Nasarruddin M Zin dan abangnya Ahmad Nawawi akan membawa panji BN menentang calon PKR di kerusi DUN Pelabuhan Klang dan Batu Tiga, dengan Nasarruddin berdepan tugas getir berhadapan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berpindah dari DUN Ijok.

Sementara itu di Sabah, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Semporna turut menyaksikan adiknya Datuk Yusof ke kancah politik yang bertanding di DUN Lahad Datu buat kali pertama.

Calon adik-beradik atau lebih dikenali 'calon anak-beranak' masih kekal di pihak pakatan pembangkang, dengan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang dan Karpal Singh mendominasi senarai calon yang bertanding.

Anwar kekal bertanding di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang, manakala puteri sulung beliau Nurul Izzah kekal mempertahankan Parlimen Lembah Pantai berhadapan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Anak kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz pula akan bertanding di Parlimen Pasir Mas, manakala bapanya kekal mempertahankan DUN Chempaka buat kali kelima.

Kit Siang pula meninggalkan kerusi Parlimen Ipoh Timur di Perak untuk mencuba nasib di Parlimen Gelang Patah, Johor manakala anaknya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang kekal di kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Puteh.

Sementara itu, Gobind Singh Deo kekal bertanding di Parlimen Puchong, Selangor manakala bapa dan abangnya Jagdeep akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan DUN Datok Keramat di Pulau Pinang.

Di Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri akan bertanding di Parlimen Arau selepas bertukar kerusi dengan adiknya Datuk Ismail di kerusi DUN Tambun Tulang.

Tidak ketinggalan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan adiknya Datuk Anifah Aman akan mempertahankan kerusi yang disandang, masing-masing di DUN Sungai Sibuga dan Parlimen Kimanis.

Manakala Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, yang diuar-uarkan sebagai bakal Ketua Menteri negeri itu akan bertanding di DUN Bukit Tengah, berbanding abangnya Teng Chang Khim yang bersaing di DUN Sungai Pinang, Selangor mewakili DAP.

Sumber: Bernama

Wakil BN Pasir Mas tidak serah borang pencalonan

on Saturday, April 20, 2013


KOTA BHARU - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini terkejut dengan tindakan calon BN bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa, yang tidak menyerahkan kertas pencalonannya di pusat penamaan calon di sini.

Beliau berkata kepimpinan tertinggi BN Kelantan tidak dimaklumkan mengenai keputusan Che Johan untuk tidak bertanding bagi kerusi itu, dan memandang serius isu ini.

"(BN Kelantan) akan merujuk kes ini kepada Lembaga Disiplin parti," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Che Johan yang berada di tempat penamaan calon Parlimen Pasir Mas di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas pagi tadi, tidak menyerahkan kertas pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Gahazali Mohamed.

Kegagalannya menyerahkan kertas pencalonan itu telah memberi laluan  pertandingan satu lawan satu kerusi berkenaan antara penyandang Datuk Ibrahim Ali atas tiket Bbebas dan calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Sumber: Bernama

Muhyiddin: Umno pecat Kamilia Ibrahim



KUALA LUMPUR - Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim keluar daripada semangat kesepakatan parti dengan mengemukakan pencalonan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Tindakan beliau mendorong tindakan segera Umno untuk memecat keanggotaan Kamilia dalam parti secara automatik.

Pemecatan beliau diumumkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tamat proses penamaan calon bagi PRU13 di seluruh negara hari ini dan Kamilia disahkan bertanding di Kuala Kangsar.

"Tindakan beliau (Kamilia) jelas bertentangan dengan perlembagaan dan peraturan Umno, serta tidak selari dengan semangat perjuangan parti," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita selepas mengemukakan kertas pencalonan beliau sendiri untuk kerusi Parlimen Pagoh di Johor.

Surat pemecatan Kamilia akan dikeluarkan Isnin ini.

Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya dengan mengatakan Barisan Nasional tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13, sedangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Kamilia yang menolak tawaran bertanding, bagi kerusi Dun Bukit Chandan kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Kamilia juga turut ditawarkan jawatan Exco jika BN menubuhkan kerajaan di negeri Perak tetapi beliau turut menolaknya, kata perdana menteri.

Beliau berkata sehubungan itu, tidak timbul sama sekali soal Kamilia tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.

Sementara itu Kamilia mengumumkan dalam laman Facebooknya bahawa beliau meletakkan semua jawatan dalam Umno berikutan beliau bertanding sebagai calon Bebas.

Selain naib ketua Wanita Umno, Kamilia juga memegang jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar.

Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Sumber: Bernama

MB Perak: Kamilia orang tidak ada prinsip

Kamilia (tengah) tiba di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar dengan diiringi penyokongnya sebelum ke dewan penamaan calon.

LUMUT -  Peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahan kerusi Parlimen Kuala Kangsar tidak tergugat dengan tindakan bekas Naib Ketua Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Beliau sudah buat keputusan, jadi kita (BN) anggap beliau bukan calon BN dan kita terima keputusannya... BN tidak bimbang dengan peluang untuk menang meskipun beliau bertanding di situ dan kita akan lawan.

"Namun saya kecewa apabila beliau menjadi orang yang tidak ada prinsip selepas tidak dapat menerima keputusan parti yang menawarkannya bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun Bukit Chandan," katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Beliau berkata, Kamilia (yang dipecat secara automatik sebagai anggota Umno hari ini) sepatutnya mencontohi mereka yang senior dan mempunyai jawatan lebih tinggi daripadanya seperti bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas yang sanggup bertanding kerusi Dun.

"Meskipun Kayveas memegang jawatan presiden parti namun beliau dengan rendah hati menerima amanah daripada BN untuk bertanding kerusi Dun Pasir Berdamar... jadi saya tidak fahamlah kenapa ini yang berlaku," katanya.

Keng Yaik juga pernah bertanding kerusi negeri Jalong, Perak pada PRU 1978 walaupun ketika itu beliau merupakan timbalan presiden Gerakan.

Zambry berkata, BN telah buat yang terbaik dan memberikan kedudukan yang sebaik-baiknya malah telah memberitahu alasan mengapa, tetapi Kamilia tetap juga dengan pendirian beliau.

Pemilihan calon BN dibuat selepas mendapatkan maklum balas daripada anggota dan rakyat peringkat akar umbi sebelum pucuk pimpinan tertinggi membuat keputusan muktamad, katanya.

Mengulas pertandingan tiga penjuru yang akan dihadapinya bagi kerusi Dun Pangkor, Zambry berkata beliau tiada masalah untuk bertanding dengan sesiapa sahaja.

Zambry akan dicabar calon PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dan calon Bebas Benard Parenpa.

"Calon Bebas itu kita tak kenal, dengar kata dia dari Selangor, bukan tempatan tetapi tiada masalah. Saya boleh faham mengapa, mungkin mereka tidak mahu beri laluan mudah tetapi dalam proses demokrasi sesiapa pun boleh bertanding," katanya.

Zambry juga kesal ada penyokong pembangkang yang membuat bising dan melanggar garisan yang ditetapkan Suruhajaya Pilihan Raya ketika berhimpun di pusat penamaan calon sehingga mengganggu kelancaran pengumuman calon oleh pengawai pengurus pilihan raya.

"Ini ialah permulaan contoh tidak baik, tindakan mereka melanggar peraturan, sedangkan penyokong BN mematuhi dengan berkumpul di lokasi yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata BN Perak akan terus bekerja  keras termasuk memperbanyak kerja turun padang untuk meyakinkan dan memenangi hati pengundi di seluruh pelusuk negeri.

Sumber: Bernama