Wanita berkemban dengan tuala dicekup bersama pasangannya yang menyorok dalam tandas.
 KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih memberi alasan menyewa di sebuah hotel  selepas penatmembeli-belah pakaian dan barangan sempena Aidilfitri  ketika dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), awal pagi  semalam.
Wanita yang hanya berkemban dengan  tuala itu dicekup bersama pasangannya yang hanya memakai seluar pendek  di hotel berkenaan pada jam 1 pagi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Wan  Jaapar Wan Ahmad berkata, wanita berusia 24 tahun itu membuka pintu  bilik selepas pintu bilik diketuk.
“Wanita itu memberi alasan hanya dia  seorang diri tidur di dalam bilik berkenaan, namun pemeriksaan lanjut  menemui seorang lelaki menyorok di tandas,” katanya.
Menurutnya, lelaki berusia 24 tahun itu memberi alasan dia tertidur di dalam bilik selepas membeli-belah.
“Difahamkan lelaki terbabit tidak bekerja, manakala pasangannya bekerja di sebuah syarikat swasta,” katanya.
Dalam operasi yang berasingan yang  dijalankan bersama Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, sepasang kekasih yang  berasal dari Kota Bharu, Kelantan dicekup khalwat di sebuah hotel  berasingan.
Beliau berkata, lelaki berusia 42 tahun itu sudah berkahwin, manakala pasangannya berusia 18 tahun tidak mempunyai pekerjaan.
“Pasangan berkenaan juga memberi alasan  membeli-belah sempena Aidilfitri. Pada awalnya lelaki berkenaan memberi  alasan gadis terbabit merupakan tunangnya,” katanya.
Kedua-dua pasangan terbabit antara 23 individu yang dicekup khalwat di lima hotel bajet sekitar ibu kota.
Beliau menasihati ibu bapa memantau anak  mereka kerana kebanyakannya yang dicekup khalwat memberi alasan  membeli-belah bersama pasangan di sini.
“Ibu bapa harus bertanggungjawab, jangan  memberi kelonggaran dan kebebasan terhadap anak mereka kerana khuatir  mereka akan terlanjur di hotel bajet,” katanya.
Operasi selama empat jam itu dijalankan  mengikut Seksyen 27 Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah  Persekutuan) 1997, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua  tahun penjara. – Sinar Harian