Penggunaan peralatan canggih untuk tujuan risikan ketenteraan memang cukup penting. Penggunaannya bukan sahaja mampu memberikan maklumat yang tepat, malah dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa para anggota tentera yang terlibat dalam operasi mengumpul maklumat risikan.
Pesawat tanpa pemandu (UAV).
Anda juga pasti biasa mendengar tentang kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang sering digunakan oleh pihak tentera untuk melaksanakan operasi risikan yang berisiko tinggi.
Teknologi tersebut biasanya dikuasai oleh negara-negara maju. Namun melalui penyelidikan dan kajian mana-mana negara mampu menghasilkan UAV mereka sendiri.
Itu yang dilakukan ole sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berjaya menghasilkan sebuah UAV yang dikenali sebagai SMART-V.
SMART-V singkatan daripada Surveillance, Military Reconnaissance, Agriculture, Rescue and Terrain Monitoring Vehicle memiliki pelbagai kelebihan berbanding UAV sedia ada.
Menurut Pegawai Penyelidik UniMAP, Prof. Madya Dr. Hazry Desa, SMART-V merupakan kaedah terbaru untuk melaksanakan pemerhatian udara berbanding penggunaan kapal terbang dan helikopter.
Jelasnya, kaedah tersebut bukan sahaja lebih menjimatkan kos malah turut mudah untuk diatur gerak.
''Melalui teknologi V/STOL (vertical oar short takeoff and landing), SMART-V sama seperti sebuah helikopter, namun lebih berkesan berikutan lebih stabil.
"Bagi mendapatkan gambar yang berkualiti tinggi, SMART-V dilengkapi bersama kamera definisi tinggi (HD) penuh bagi memudahkan tugas-tugas risikan ketenteraan, pemerhatian pertanian dan operasi menyelamat,' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pameran Teknologi, Ciptaan dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) 2012 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Dr. Hazry, antara objektif utama ciptaan tersebut dihasilkan adalah untuk meningkatkan keberkesanan ketika terbang di udara.
Ini kerana, SMART-V dilengkapi empat bilah kipas atau rotot untuk menjadikannya lebih stabil ketika penerbangan.
Teknologi tersebut juga sudah pasti dapat mengurangkan kos untuk mendapatkan juruterbang profesional di samping caj yang dikenakan untuk melaksanakan satu-satu projek pemerhatian udara.
''Malah kita juga dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa juruterbang serta pekerja pemerhatian udara dengan hanya menggunakan SMART-V," ujarnya.
Tambahan pula, SMART-V tidak memerlukan infrastruktur khas dan boleh diterbangkan dalam apa jua bentuk muka bumi.
Selain itu, pesawat ini juga mampu menghasilkan imej yang lebih stabil kerana penerbangannya yang stabil kerana di kawal oleh empat rotor.
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apabila sesuatu teknologi itu baharu tentul agak mahal.
Tetapi bagi SMART-V, ini merupakan antara teknologi yang dicipta untuk mampu dimiliki oleh sesiapa jua.
Malah, berdasarkan teknologi penerbangan menggunakan empat rotor, SMART-V juga mudah dikawal biarpun pertama kali dikendalikan oleh pengendalinya.
Bagi mengawal kamera yang terdapat pada SMART-V, Dr. Hazry menggunakan aplikasi yang lebih mudah dengan menambah paparan maya pada topi yang turut dipasang kamera.
Pergerakan kamera boleh dikawal dengan hanya menggerakkan kepala (pengendali memakai topi) dan pada masa yang sama mengawal SMART-V.
Jelas Dr. Hazry lagi, SMART-V mempunyai potensi yang besar dalam pasaran negara masa kini.
Antara agensi penguatkuasaan kerajaan yang boleh menggunakan khidmat SMART-V adalah seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).
Bagi agensi berkaitan perladangan, antara yang boleh menggunakannya adalah seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Malah, pesawat UAV ini juga boleh digunakan oleh pasukan pencari dan menyelamat seperti Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Apa yang pasti teknologi SMART-V tersebut hanyalah sebagai pencetus untuk lebih banyak lagi teknologi yang lebih canggih dapat dihasilkan pada masa akan datang.
-Utusan-