'MAK-MAK jangan mainlah brother.' Cukup dengan sekadar sepotong dialognya menerusi video promosi filem Chow Kit yang kerap tersiar di kaca televisyen, wajah remaja belasan tahun ini kuat mendesak perasaan ingin tahu. Sifat semula jadi, lakonan bersahaja dan bersilih emosi menerusi Chow Kit juga segera memberi petunjuk, seorang pelakon generasi baharu sedang dilahirkan.
Di luar set, Mohamad Izzam Syafiq, 14, agak pendiam, dia ketara berbeza berbanding lakonan yang meninggalkan kesan menerusi filem arahan Dhojee dan Brando Lee itu. Pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights, Bukit Idaman, Selayang itu juga tidak lahir dari keluarga seni dan Chow Kit satu-satunya naskhah yang menjadi titik mula permulaan buatnya.
"Ini merupakan kali pertama saya berlakon dan saya berasa sangat teruja untuk berlakon dengan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Dira Abu Zahar dan Namron. Sudah tentu saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menonjolkan bakat yang ada," katanya yang hanya mahu dibahasakan Ijam.
Melakonkan watak Ajik, remaja yang menjadikan lorong-lorong gelap di Jalan Chow Kit sebagai kehidupan, jelas Syafiq, dia mulanya agak kekok untuk bermaian karakter Ajik.
"Ajik sangat bertentangan sifat saya. Ajik seorang yang anak yang liar, kaki pukul, samseng dan suka mencarut. Saya pula lebih gemar menyendiri, tidak banyak cakap dan pemalu.
"Mula-mula, saya memang takut dan menggeletar bila diminta beraksi depan kamera, tapi lama-lama ia jadi pengalaman yang sangat seronok. Saya sendiri dapat rasakan pergolakan yang sedang dilalui oleh Ajik.
"Apabila kawan baik Ajik, Tika dirogol oleh Mat Pyius, sebagai kawannya, saya (Ajik) berasa sangat terkilan dan mahu menuntut bela," kata Syafiq yang berterima kasih kepada dua pengarah filem itu, Dhojee dan Brando Lee yang memberikan tunjuk ajar sehingga Ajik terpacul daripada raut wajahnya.
Selain Syafiq, filem yang ditayangkan sejak 3 Mei itu turut memperkenalkan tiga lagi pelakon cilik berbakat besar, Nur Nadzirah Rosi, Muhamad Izzam Izzudin dan Muzhaffar Shah Hazhar.
sumber : kosmo