Azam Pitt : Setia cinta jarak jauh

on Friday, August 2, 2013

Syawal kali ini pastinya lebih bermakna buat pelakon Azam Pitt kerana selain menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuching, Sarawak, dia juga sibuk menguruskan pertunangannya yang bakal berlangsung Oktober ini depan.

Walaupun Aidilfitri bakal menjengah minggu depan, tumpuan jejaka berusia 27 tahun itu lebih kepada persiapan pertunangannya dengan Dayang Norshila Awang Idris, 24, yang juga berasal dari Kuching.
“Majlis pertunangan itu akan dilangsungkan pada Oktober depan, tetapi tarikhnya belum diputuskan. Saya akan berbincang dengan keluarga apabila pulang bercuti pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Azam yang segak mengenakan jubah hitam ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran pengarah Suhaimi Lua Abdullah, baru-baru ini berkata, bukan mudah menjalinkan percintaan jarak jauh kerana ada saja dugaan yang datang termasuklah godaan daripada peminat.

AZAM menyambut Aidilfitri di Kuching, Sarawak.

“Tipulah kalau saya kata tiada yang datang menggoda, tetapi saya tidak pernah mengambilnya sebagai satu perkara yang serius. Ia adalah perkara biasa antara artis dengan peminat, tetapi ia bergantung kepada diri kita sendiri. Kalau kita melayan pasti menjadi, jadi usah diambil kisah dengan semua itu, sebaliknya fokus kepada kerja dan kekasih di kampung.

“Kami pernah bergaduh besar hingga dia minta putus tetapi kalau sudah jodoh pasti Allah SWT menyediakan jalan penyelesaiannya. Hubungan keluarga saya dan Shila rapat dan ia juga antara faktor yang mengukuhkan lagi percintaan kami. Shila mengusahakan perniagaan restoran milik keluarganya dan jika ada kelapangan dia akan datang ke Kuala Lumpur," katanya.

Azam berkata, selepas melalui pelbagai perkara dan suka duka bersama, ia menguatkan tekadnya untuk memperisterikan Shila.

Katanya, selepas berkahwin dia akan menetap di Kuala Lumpur manakala Shila mungkin terus menetap di Kuching. Namun, ia belum muktamad lagi kerana segala perancangan boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan.
sumber : http://www.hmetro.com.my/

Soo Wincci Cari Cinta Selepas 2 Tahun Hidup Solo

Soo Wincci berharap dapat bertemu dengan jodoh yang sesuai dengannya

Penyanyi dan pelakon Soo Wincci mengakui dia mula berasa sunyi apabila masih lagi belum mempunyai kekasih sejak dua tahun hidup menyendiri.

Wincci, 27, berkata, walaupun dia sanggup mengorbankan masa dan cinta demi mengukuhkan kerjaya seninya yang kian berkembang, jauh di sudut hati wanita itu, dia masih lagi mengharapkan akan ada seorang lelaki yang setia berada di sisi berkongsi rasa susah dan senang bersama.

"Sejak akhir-akhir ini, memang saya terlalu sibuk kerana memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni saya. Lebih-kebih lagi apabila pasaran peminat Melayu mula menerima saya menerusi single lagu terbaharu, Musim Cinta.

"Bagaimanapun, kesibukan itu membuatkan hati belum dimiliki sesiapa lagi dan diakui, saya teringin untuk bercinta semula selepas dua tahun tanpa kekasih.

"Tetapi rasanya lelaki sekarang pun takut nak dekatkan diri dengan saya yang sentiasa sibuk tak tentu masa," katanya.

Tambah bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu, dia juga menyifatkan ia sebahagian daripada pengorbanan besarnya melupakan seketika keinginan hati bagi mengejar cita-citanya.

"Saya percaya, Tuhan tidak memberikan semua apa yang kita inginkan. Jika mahu kejar cita-cita, maka ada perkara lain yang kita inginkan seperti cinta misalnya, susah untuk kita dapatkan.

"Dan bayangkan pula apabila saya ada kekasih dan berkahwin satu hari nanti, tidak mungkin saya dapat mengejar impian seperti yang dimahukan," ujarnya.

Dalam pada itu, Wincci yang berjaya menempa nama di Taiwan turut gembira apabila dia mula menjadi perhatian masyarakat di sana selepas pelancaran album sulungnya,Happiness di negara itu pada awal Januari lalu.

Malah, penyanyi itu dapat merasa kegembiraan yang berganda selepas lagu Musim Cintakini sedang hangat dimainkan di semua stesen radio tempatan.

"Sudah lima tahun saya cuba kukuhkan nama dalam industri seni tempatan dan kini hasilnya sudah dapat saya lihat. Selepas kejayaan di Taiwan, masyarakat Malaysia terutamanya golongan Melayu turut menerima saya selepas kemunculan Musim Cinta.
"Bagaimanapun ini sebagai permulaan untuk saya melangkah lebih jauh selepas ini," ujarnya.
Sumber : http://mstar.com.my/

Zikir Hafiz Hamidun Ditentang Pendakwah



PENYANYI, komposer dan penerbit, Hafiz Hamidun, tidak menyangka zikir-zikir terapi miliknya boleh digunakan dalam perubatan malah menjadi peneman kepada orang sakit.

“Matlamat awal saya menghasilkan lagu zikir terapi adalah untuk dihafal dan dikenalkan kepada orang ramai.

“Tidak sangka pula ia boleh digunakan dalam perubatan malah pakar bedah mata, Prof. Dr. Muhaya Mohamad memasang lagu zikir terapi saya semasa melakukan prosedur pembedahan mata,” ungkapnya penuh ceria

Mengandungi 11 buah zikir seperti Rabbi Zidni, Ilahi Las dan Allahu Ya Rahman, ujar Hafiz, alunan muzik album keduanya itu berbeza dengan album pertama apabila ia mengetengahkan muzik zapin, gurindam dan dodoi.

Bertindak sebagai penerbit, komposer juga penyanyi untuk albumnya, akui Hafiz, dia pernah mendapat tentangan daripada beberapa pihak yang melakukan kerja dakwah tetapi bukan dalam industri seni.

“Ada beberapa pendakwah yang mengatakan zikir ini satu ibadat. Kenapa perlu masukkan muzik ke dalam ibadat?

“Namun, bagi saya usaha dakwah yang paling penting ialah kita perlu jaga akidah, iman dan akhlak.

“Saya promosikan zikir ini supaya ia boleh didengar di mana sahaja,” jelasnya.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Nubhan selesa bersama Nana


KISAH bekas peserta program realiti televisyen Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan, 27, yang pergi bercuti bersama penyanyi Siti Nordiana atau Nana, 29, di Pulau Perhentian, Terengganu pada pertengahan Jun lalu menjadi buah mulut ramai baru-baru ini.

Biarpun kedua-dua penyanyi itu bercuti bersama beberapa orang rakan lain, masih ada peminat yang sangsi akan status hubungan mereka.

Ada yang menyifatkan langkah bercuti bersama kawan-kawan lain sekadar usaha untuk menutup pandangan masyarakat.

Justeru, adakah Nubhan kini sedang bercinta dengan Nana yang merupakan ibu tunggal beranak satu itu?

Kosmo! mendapatkan respons daripada penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu berhubung gosip tersebut ketika dia ditemui pada sesi rakaman Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya di Restoran Felda D’villa, Kuala Lumpur baru-baru ini. Berikut sedutan temu bual tersebut.

Kosmo!: Ramai yang mengatakan hubungan anda dan Siti Nordiana atau Nana lebih daripada sekadar kawan, tambahan kalian pernah bercuti bersama-sama baru-baru ini. Boleh anda komen gosip tersebut?

NUBHAN: Saya memang rapat dengan Nana dan selalu keluar bersama kerana kami sekepala. Sebelum ini pun kami pernah bercuti di lokasi lain contohnya Pulau Tioman, tapi tidak pula timbul sebarang gosip. Orang sebenarnya tersalah anggap kami bercinta kerana kami berdua artis dalam kalangan kumpulan itu. Pada hakikatnya, kami berkawan rapat dan saya menafikan sama-sekali kami bercinta.

Berapa lamakah hubungan baik anda dan Nana telah terjalin dan sejauh manakah hubungan itu?

Lebih kurang setahun lalu selepas saya berpisah dengan kekasih saya. Saya rapat dengan Nana dan anaknya Rayyan, tetapi tiada sebarang panggilan istimewa pun antara kami. Malah, Rayyan memanggil saya Uncle Nubhan.

Pada pandangan anda, adakah gosip yang timbul sengaja direka-reka atas tujuan tertentu?

Sukar untuk saya teka tetapi saya tak boleh terlalu ambil peduli apa yang diperkatakan orang. Ini kerana saya selesa dan gembira untuk melakukan perkara yang sedang saya lakukan. Saya selesa berkawan dengan Nana, jadi kenapa saya perlu putuskan persahabatan ini?

Menjalinkan hubungan dengan wanita yang lebih berusia atau yang telah mempunyai anak adakalanya menyukarkan bagi sesetengah lelaki. Apakah komen anda?

Tiada masalah bagi saya kerana bukan hak kita untuk menilai status seseorang. Kita berkawan kerana mahu berkawan. Setiap lelaki mempunyai pilihan atau ciri-ciri wanita yang diinginkan tetapi sebagai orang biasa, sesiapa yang dijodohkan kita terima sahaja.

Bagaimanakah hubungan antara anda, Nana dan keluarga masing-masing?

Saya rapat dengan keluarganya begitu juga dia yang akrab dengan keluarga saya. Kami pernah berkunjung ke rumah keluarga masing-masing kerana kampung kami berdekatan. Nana tinggal di Sendayan manakala saya pula di Seremban. Biasanya, kalau musim buah-buahan saya menjemput Nana dan kawan-kawan datang memetik buah di kampung.

Maksudnya tahun ini anda atau Nana akan beraya bersama-sama di kedua-dua rumah keluarga di Negeri Sembilan?

Ziarah-menziarahi itu kewajipan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri. Rumah saya sentiasa terbuka untuk tetamu yang bertandang. Kami berkawan, jadi sudah pasti saya akan beraya ke rumahnya dan dia akan beraya di rumah saya.

Jika Nana bukan teman istimewa anda, siapakah pula yang sedang bertakhta di hati anda?

Saya masih solo dan sedang mencari calon yang sesuai (ketawa). Paling penting adalah keserasian. Saya mahukan seseorang wanita itu menjadi pelengkap kepada hidup saya.
sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Bipasha intim dengan Harman

Bipasha Basu nampaknya sudah dapat melupakan cinta lamanya dengan John Abraham apabila baru-baru ini dia dilihat keluar dengan aktor Harman Baweja yang juga bekas teman lelaki Priyanka Chopra.

Aktres itu yang baru selesai penggambaran filem terbaru lakonannya berjudul Creature, menjemput Harman ke majlis hari jadi anak saudaranya, Nia di Mumbai.

Laporan dalam Zee News mengatakan yang Bipasha kelihatan gembira di samping Harman di mana beberapa bulan lalu Harman turut meraikan hari jadi aktres itu yang disambut di Goa. Pasangan itu dilihat mesra bergambar bersama rakan-rakan Bipasha yang lain di tepi kolam renang.

Apakah Bipasha sudah berjumpa dengan ‘Mr Right’? Khabar-nya ibu dan adik-beradik Bipasha juga sukakan Harman.

Selepas berpisah dengan John, Bipasha tidak mahu berkongsi lagi cerita peribadinya dengan masyarakat terutama berhubung lelaki yang rapat dengannya. Tetapi sikapnya mula berubah apabila dia semakin rapat dengan Harman.

Pujinya, Harman lelaki yang baik, kelakar dan peramah. “Biarlah hati saya menentukan segalanya,” katanya.
sumber : http://www.hmetro.com.my/

Anak Pelengkap hidup Adi Putra


KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah kacaknya itu. Terserlah sungguh. Pencetusnya sudah tentu kehadiran insan kecil berusia sembilan bulan bernama Zara Adelia Haadi.
Si comel inilah yang kini menambahkan lagi aura kebahagiaan dalam hidup aktor kacak kelahiran Singapura, Adi Putra dan isterinya, Zuhaida Yusof.

Sementelah Adi dan Zuhaida sudah bergelar suami isteri selama tujuh tahun, namun tiada rezeki untuk mereka menimang anak.Bagaimanapun, pasangan romantis ini sentiasa berfikiran positif.

Seperti sudah tersurat, kebahagiaan insan yang bergelar ibu dan bapa apabila kali pertama dikurniakan zuriat tetap dialami Adi Putra dan Zuhaida biarpun dalam cara yang berbeza.
Sejak enam bulan lalu, Zara Adelia yang ketika itu sudah berusia tiga bulan diambil sebagai anak angkat mereka.

Ketika bersua muka dengan Adi Putra pada sesi fotografi sempena Aidilfitri di Hotel Istana, Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim itu sentiasa tersenyum manis apabila berbicara tentang anaknya itu.
Sejak Zara Adelia diambil sebagai anak angkat oleh Adi Putra, si kecil itu belum bertemu sanak saudara dan keluarga kedua belah pihak. Jadi, menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Adi Putra dan isteri tidak melepaskan peluang tersebut.

Tuturnya, raya tahun ini pastinya berbeza kerana penambahan puteri mereka sebagai anggota keluarga baharu. Bicara Adi Putra, ternyata si isteri teruja membeli-belah dan membuat persiapan untuk puteri kesayangan.
"Tahun ini berbeza kerana harus menyediakan kelengkapan bagi si kecil itu pula. Biasalah kaum hawa ini memang gemar menyiapkan anak. Kami kaum Adam tiada masalah, simple-simple pun tidak mengapa.
"Kali ini ada beberapa warna tema untuk raya. Antaranya yang dipilih oleh isteri saya ialah warna ungu.
"Saya tidak kisah warna apa pun, saya pakai sahaja apa yang dipilihnya. Saya tidak terlalu cerewet kerana saya rasakan mata kaum hawa itu lebih tajam untuk memilih dari segi warna dan sebagainya," ceritanya ceria tentang hari raya yang agak istimewa baginya tahun ini.


Menurut Adi Putra, walaupun mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya sepanjang Ramadan, namun dia mengambil cuti raya selama dua hari sahaja.
Ini kerana katanya, masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi menyiapkan filem arahan pertamanya yang berjudul Suami Aku Ustaz.

"Kerja-kerja pascaproduksi masih belum selesai. Jadi saya tidak mahu mengambil cuti terlalu lama untuk beraya. Risau jika lambat habis lambat pula tayangannya," tuturnya tentang filem pertama arahannya itu.

Ditebak persoalan setelah hampir enam bulan pengalaman menjadi seorang bapa, kata Adi Putra, membesarkan anak perlu punya prinsip.

"Menjadi seorang bapa seharusnya perlu bertanggungjawab dan juga cara bimbingan ke arah mana. Ini kerana kita diberi banyak pilihan untuk membimbing keluarga mahupun anak-anak itu sendiri.
"Jadi, bagi diri saya sendiri, saya lebih suka dengan prinsip yang telah ditetapkan kerana bukan senang untuk jadi seorang ayah. Apa yang kita lakukan hari ini, tidak semestinya kelihatan kerana masih kecil.
"Justeru, ia akan kelihatan setelah anak itu membesar dan setelah dewasa. Itulah menjadi cermin bagaimana sebenarnya kita mengasuh anak. Jadi, kita harus lakukan sekarang iaitu semasa mereka kecil," jelasnya panjang lebar tentang tanggungjawab diri.

Tambahnya, dia dan isteri tidak sukar untuk menjaga anak kecil kerana telah matang dari segi usia. Oleh itu, mereka mampu membiasakan diri dengan kerenah dan ragam si kecil.
sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp

Tak Percaya Perkahwinan

Pelik juga apabila aktres Sonam Kapoor menceritakan lelaki dalam ahli keluarganya termasuk bapanya sendiri, Anil Kapoor tidak percaya dengan perkahwinan dan sangat menentangnya.

“Bapa (Anil) saya berpendapat perkahwinan adalah perkara yang sudah ketinggalan zaman. Jadi dalam keluarga saya jika ada wanita yang mahu berkahwin, mereka terpaksa melalui proses berjumpa dengan semua lelaki dalam keluarga saya termasuk bapa,” katanya.

Reaksi yang diberikan Sonam terhadap idea berkahwin apabila ada berita yang mengatakan adiknya, Rhea akan melangsungkan perkahwinan dengan teman lelakinya, Karan Boolani, bulan depan.

Tegas Sonam berita itu benar kerana baginya masih lagi terlalu muda untuk berkahwin apatah lagi dalam masa terdekat ini.

“Dia adalah ‘baby’ dalam keluarga kami. Mustahil dia akan berkahwin dalam masa sebulan kerana dia akan memulakan penggambaran filem barunya tidak lama lagi. Mungkin ada yang keliru mengenai gosip yang dia mahu berkahwin dan filem barunya itu.


“Saya tidak mahu Rhea berpindah dari rumah kami dan dia tak mungkin berkahwin dalam masa lima enam tahun lagi,” katanya.

Sonam juga berkata dia tidak pernah rapat dengan mana-mana aktor kerana tidak suka mencampuradukkan urusan kerja dan peribadi. Biarpun begitu, ada khabar angin yang bertiup kencang kononnya dia pernah bertemu janji dengan pengarah Punit Malhotra.
sumber : http://www.hmetro.com.my/