Soo Wincci berharap dapat bertemu dengan jodoh yang sesuai dengannya
Wincci, 27, berkata, walaupun dia sanggup mengorbankan masa dan cinta demi mengukuhkan kerjaya seninya yang kian berkembang, jauh di sudut hati wanita itu, dia masih lagi mengharapkan akan ada seorang lelaki yang setia berada di sisi berkongsi rasa susah dan senang bersama.
"Sejak akhir-akhir ini, memang saya terlalu sibuk kerana memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni saya. Lebih-kebih lagi apabila pasaran peminat Melayu mula menerima saya menerusi single lagu terbaharu, Musim Cinta.
"Bagaimanapun, kesibukan itu membuatkan hati belum dimiliki sesiapa lagi dan diakui, saya teringin untuk bercinta semula selepas dua tahun tanpa kekasih.
"Tetapi rasanya lelaki sekarang pun takut nak dekatkan diri dengan saya yang sentiasa sibuk tak tentu masa," katanya.
Tambah bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu, dia juga menyifatkan ia sebahagian daripada pengorbanan besarnya melupakan seketika keinginan hati bagi mengejar cita-citanya.
"Saya percaya, Tuhan tidak memberikan semua apa yang kita inginkan. Jika mahu kejar cita-cita, maka ada perkara lain yang kita inginkan seperti cinta misalnya, susah untuk kita dapatkan.
"Dan bayangkan pula apabila saya ada kekasih dan berkahwin satu hari nanti, tidak mungkin saya dapat mengejar impian seperti yang dimahukan," ujarnya.
Dalam pada itu, Wincci yang berjaya menempa nama di Taiwan turut gembira apabila dia mula menjadi perhatian masyarakat di sana selepas pelancaran album sulungnya,Happiness di negara itu pada awal Januari lalu.
Malah, penyanyi itu dapat merasa kegembiraan yang berganda selepas lagu Musim Cintakini sedang hangat dimainkan di semua stesen radio tempatan.
"Sudah lima tahun saya cuba kukuhkan nama dalam industri seni tempatan dan kini hasilnya sudah dapat saya lihat. Selepas kejayaan di Taiwan, masyarakat Malaysia terutamanya golongan Melayu turut menerima saya selepas kemunculan Musim Cinta.
"Bagaimanapun ini sebagai permulaan untuk saya melangkah lebih jauh selepas ini," ujarnya.
Sumber : http://mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment