Wanita Trauma Apabila Diragut Ketika Solat

on Thursday, August 29, 2013


Wanita Trauma Apabila Diragut Ketika Solat | KUALA TERENGGANU - Sebelum ini, kita hanya mendengar duit tabung masjid dicuri, beg tangan dan barang berharga milik jemaah dilarikan ketika sedang solat, tetapi kejadian berbeza dialami seorang jemaah wanita di sebuah masjid di Chendering, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 8.40 malam, ibu empat anak itu nyaris menjadi mangsa ragut oleh penjenayah yang menutup muka dengan tuala ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan.

Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 52, ketika kejadian, dia bersama tujuh lagi jemaah wanita sedang bersolat di ruang solat tingkat bawah, manakala jemaah lelaki di ruang solat tingkat atas masjid.

“Disebabkan jemaah tidak ramai, jadi kami hanya membuat satu saf sahaja dan saya mengambil tempat di kedudukan paling tengah.

“Semasa kejadian, imam sedang membaca surah al-Fatihah untuk rakaat kedua. Ketika sedang khusyuk itu, tiba-tiba bahu saya sebelah kiri dicengkam dengan kuat sebelum leher diraba oleh penjenayah yang muncul dari arah belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering, di sini, semalam.

Kak Ani berkata, terkejut dengan situasi itu, dia terus memalingkan muka dan mendapati seorang lelaki bertubuh sasa yang menutup muka dengan sehelai tuala berdiri di belakangnya.

“Saya menjerit sekuat hati kerana terkejut dan disebabkan jeritan saya itu, semua jemaah wanita terpaksa memberhentikan solat untuk membantu.

“Malah dua daripada mereka bertindak berani cuba mengejar penjenayah terbabit  tetapi gagal,” katanya.

Jelasnya lagi, penjenayah yang mengenakan baju T dan berseluar jeans itu mungkin bukan sahaja berhasrat hendak meragut rantai leher dipakainya, tetapi turut mempunyai niat mengambil kesempatan untuk mencabul.

“Ini kerana, ketika dia mencengkam bahu, perbuatan awalnya lebih kepada meraba dada sebelum bertindak menarik rantai di leher.

“Tetapi apa yang saya musykilkan, bagaimana penjenayah itu tahu saya memakai rantai sedangkan semasa pergi ke masjid, saya terus memakai telekung sembahyang dan sememangnya tidak akan nampak barang kemas dipakai,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun insiden itu sudah berlalu beberapa hari, namun dia masih trauma.

“Setiap kali hendak solat, saya merasakan seperti ada orang di belakang walaupun hanya solat di rumah.

“Selepas kejadian, saya masih tidak berani  ke masjid dan insyaALLAH, selepas semangat saya pulih dalam beberapa hari nanti, saya pasti akan menjadi salah seorang jemaah di masjid itu lagi,” katanya.-sinar harian

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment