Terkini!!Ibu kepada suspek serah Wan Aisyah kepada polis!
Perkara ini disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.
Mazlan berkata Wan Aisyah berada dalam keadaan yang sihat.
“Kami sudah maklumkan perkara ini kepada Balai Polis Rawang. Pihak Polis di sana akan mengaturkan maklumat perjalanan ibu Wan Aisyah ke sini untuk mengambil anaknya,” katanya kepada Astro Awani.
KUALA LUMPUR:Berita tentang kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah mendapat perhatian meluas di laman media sosial apabila orang ramai menggesa tindakan pantas pihak polis untuk mencarinya.
Berita kehilangan adik Wan Aisyah Wan Exzan mula disebarkan kepada umum oleh ibunya yang dikenali sebagai Cikgu Arbaiyah di Facebook, apabila beliau memuatnaikkan gambar anak beliau yang sedang didukung oleh suspek.
Gambar itu telah dikongsikan dengan meluasnya di laman Facebook dan Twitter dengan harapan dapat menolong keluarga Wan Aisyah untuk mencarinya.
Ibu Wan Aisyah juga turut menulis di Facebook bahawa keluarganya sudah puas menangis sejak kehilangan Wan Aisyah dan mereka kini amat merinduinya.
Satu "hashtag" yang dipanggil #findaisyah juga menjadi topik perbualan di laman Twitter.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan kejadian itu, berkata ibu Wan Aisyah telah membuat laporan polis sehari selepas kehilangannya pada 2 Ogos.
Abdul Rahim berkata dalam laporan polis itu, ibu Wan Aisyah yang merupakan guru sekolah SMK Sg Choh telah berkenalan dengan suspek melalui Facebook pada bulan Mei tahun ini.
“Ibunya yang telah bercerai, berkawan rapat dengan lelaki itu dan kedua mereka telah berjumpa sekurang-kurangnya empat kali sebelum kejadian ‘penculikan’ itu.
“Lelaki itu telah berjanji untuk berkahwin dengan ibu Wan Aisyah selepas Hari Raya dan telah berjanji untuk membawa keluarga itu untuk berbulan madu. Ibu Wan Aisyah juga telah membantu menjana perniagaan lelaki itu dengan memberikan RM25,000 kepadanya.
“Pada 2 Ogos, lelaki itu telah meminta kebenaran ibu Wan Aisyah untuk membawa kanak-kanak itu ke Jabatan Imigresen, kononnya untuk membuat pasport. Wan Aisyah hilang selepas itu,” kata Abdul Rahim.
Abdul Rahim berkata pihak polis kini sedang menjejaki lokasi suspek.
Sementara itu, orang ramai turut mencurahkan rasa simpati dan harapan untuk keluarga Wan Aisyah bertemu semula dengannya.