[32 Foto Eksklusif] Suara Ghaib dan 'Bayangan' di Rumah Tinggal

on Sunday, January 20, 2013

Tepat jam 10.30 malam, kenderaan KIA K5 dipandu oleh Jet menjalar laju di jalanraya, menuju ke lokasi sasaran, berikutan hasil aduan kami terima.

Kru Penyingkap Fakta hanya berminat meninjau lokasi didakwa menyeramkan sekaligus menakutkan ahli masyarakat setempat.
Setengah jam kemudian saya, Jet, Razali dan Boy, tiba di hadapan rumah kelihatan gelap dan muram. Kami tercegat sambil memerhati ke arah rumah itu dengan penuh debaran.

"Masih ada bekalan elektrik," bisik Razali.

Tanpa berlengah kami bertemu keluarga tinggal bersebelahan rumah teres dua tingkap terbabit.

Lalu kisah lampau dikongsikan oleh mereka.

"Rumah di kawasan ini terbengkalai kira-kira 9 tahun sebelum diduduki. Sejak mula dihuni pelbagai kejadian ganjil dan seram kami tempuh. Lembaga menyerupai wanita tua, bersanggul, tiba-tiba masuk ke rumah dan menghilangkan diri. Anak kami tidur di bilik atas belakang pernah terlihat objek seperti kepala manusia sedang mengintai mereka melalui tingkap," kata Hassan, 46 tahun.
"Pernah sekali, saya keluar dari rumah pada waktu malam dan terlihat kelibat seperti kepala di atas tembok simen. Sekali imbas sahaja dan kemudian hilang dari pandangan. Dahulu memang ada pokok kayu ara di tempat itu tetapi kemudian telah ditebang," sampuk isteri Hassan, Salmi, 40 tahun.

Tiba-tiba terasa bulu roma meremang.
Sebelum ini, kelibat wanita tua berambut panjang mengurai juga didakwa pernah dilihat oleh beberapa penduduk taman sama.

"Sebilangan penduduk pernah ternampak wanita itu bak berkeliaran di belakang rumah. Manakala apabila kami berada di rumah, selalunya bermacam bunyi kami dengar. Antaranya, bunyi seperti sofa ditarik dan bunyi guli melantun di atas lantai simen," celah Hassan.

Hassan kemudian meminta kami menumpukan perhatian kepada langsir di tiga tingkap bilik atas.
"Kedudukan langsir itu, sering berubah, kekadang terbuka kecil, kekadang besar. Walhal tiada siapa tinggal di rumah ini. Lazimnya sebelum masuk ke rumah pada waktu tengah malam, selepas bekerja, saya pandang ke tingkap itu terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah," ujar Hassan yakin.

Kami difahamkan, rumah menggerunkan itu tidak pernah disewakan kepada orang ramai.

"Sebelum ini, halaman rumah semak kerana di tumbuhi lalang tinggi, bukan seperti sekarang ini, lapang," tambah Salmi.
Kru Penyingkap Fakta kemudian cuba meninjau rumah terbabit dari dekat kerana pintu pagar dibiarkan tanpa dikunci.
"Semua tingkap berkunci," bisik Boy.

"Eh! Bagaimana pula boleh berkunci sedangkan sebelum ini, saya hanya tolakkan sedikit sahaja tingkap sebab terbuka," ujar Hassan kehairanan.

"Confirmed?," soal saya.

"Ya," balas Hassan ringkas.

Melihat tingkah-laku Hassan, kami tahu dia berada dalam ketakutan namun mencuba berkongsi fakta bersama kami.
Beberapa kali Boy cuba menolak perlahan satu daripada tingkap terbabit namun gagal. Pada awalnya kami bercadang untuk menggantungkan kamera pengesan pergerakan infrared di tingkap itu dan dihalakan ke dalam rumah ditinggalkan sejak 15 tahun lalu.

"Berdiri bulu roma," bisik Razali.

Jarang benar Razali mengungkapkan kenyataan sebegitu sewaktu menyertai puluhan tinjauan ke pelbagai lokasi didakwa berpuaka sebelum ini.

Saya ketepikan perasaan takut di dalam diri dan terus merakamkan gambar tanpa henti.
Pada masa sama, Jet menggunakan penguat suara parabolik untuk mendengar sekiranya terdapat audio aneh di sekitar rumah itu.

"Saya dan isteri banyak kali terdengar bak suara orang ramai sedang bersembang, riuh-rendah di sebelah rumah kami. Ada waktunya kami berdua cuba menumpukan sepenuh pendengaran tetapi langsung tidak berupaya memahami bahasa digunakan oleh 'mereka'," dakwa Hassan.

"Suara bagaimana?," tanya saya secara spontan.

Hassan memandang ke arah Salmi.

"Suara seperti orang ramai bercakap kalau kita berada di shopping mall namun hairannya tidak pula kelihatan sesiapa di sekitar. Suara ghabi. Sejak pokok kayu ara ditebang, sudah tidak kedengaran lagi, Alhamdulillah," kata Salmi.
Kami kemudian beredar ke kawasan belakang rumah sama dan memasang kamera perakam pergerakan infrared bersama kamera video.
"Besarnya pokok pisang dan kelihatan hidup subur," tegur Jet secara tiba-tiba.

Spontan Razali menjeling Jet.

"Jet perasan atau tidak, kawasan rumah ini berasa panas?," katanya.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara itu menganggukkan kepala.
Perakam audio kemudian diletakkan di atas para berhampiran pokok berjurai di lokasi sama.
Secara tenang dan teratur, kami kemudian memasang kamera video infrared menggunakan bekalan elektrik disalurkan dari rumah Hassan.

Lazimnya, kamera dipasang selama dua jam di satu lokasi kami kunjungi.
Selesai tugasan itu, kami kemudian bergerak semula ke bahagian hadapan rumah dan menunggu sehingga jam 2.15 pagi.

Sementara kru lain menikmati minuman, saya merakamkan banyak gambar di lokasi itu.
Berikut status penemuan terkini kami :
Tahap keseraman : 6/10
Hasil rakaman kamera perakam pergerakan infrared : Tiada.
Hasil rakaman audio : Tiada.
Hasil rakaman kamera video infrared : Sedang dianalisa.

Kami berdoa agar Hassan sekeluarga sentiasa berada dilindungi oleh Allah daripada segala gangguan tidak diingini.

Amin.

Jika berminat menyertai tinjauan kami seterusnya, sila hubungi Razali Harun di talian 016 231 5812.

Fakta Dicatatkan Oleh Mazidul Sidik
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment