Tahun lepas namanya panas gara-gara kehadiran seorang bayi diberi nama Haq Lutfie Alexander yang sehingga kini masih dirahsiakan identiti bapanya. Tahun ini, air muka pelakon berkaliber yang cukup dikenali dengan panggilan NK itu masih belum habis diconteng dengan arang.
Sama ada terhukum oleh kesilapan lalu atau dihukum sewenang-wenangnya oleh media, apa yang berlaku kepada Norish sebenarnya satu episod hitam. Luka hidupnya tidak pernah sembuh.
Semuanya bermula beberapa tahun lalu selepas rumah tangganya bersama Datuk Hashimuddin Abdul Kadir hancur dipukul badai pada 2008. Dalam tempoh beberapa tahun ini, namanya tenggelam timbul. Selesai soal penjagaan anak-anak, muncul pula kisah bercinta lelaki muda. Tidak habis dengan perkara itu, tiba-tiba pula dia dikatakan menyembunyikan diri dan hamil anak luar nikah.
Terbaharu, Norish dikecam seorang wanita yang mendakwa pelakon itu cuba merampas suaminya. Norish, baru-baru ini terpaksa merasakan sudah tiba masa untuknya bangkit memperjelaskan keadaan sebenar kepada media.
"Semua cerita dan kontroversi yang selama ini dipaparkan oleh pihak media sangat mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Saya lebih teruk daripada banduan kerana media terus menjatuhkan hukuman kepada saya tanpa mempedulikan berita itu sahih atau tidak," getus Norish dalam nada hiba usai majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Norish mengambil peluang itu untuk beramah-mesra dengan media yang selama ini disifatkannya tidak habis-habis mencungkil cerita panas tentang dirinya.
"Tanyalah saya apa sahaja, selama ini pihak media tidak habis-habis telefon saya minta komen macam-macam cerita," katanya separuh tegas, separuh berseloroh.
Lebih memburukkan keadaan, kata Norish: "Karier lakonan saya mendapat impak yang paling teruk. Selama enam bulan sampai ke hari ini, saya tidak berlakon dan tidak mendapat sebarang tawaran lakonan. Semua itu kesan cerita buruk tentang saya yang dijaja oleh media."
Kehilangan sumber pendapatan hasil lakonan menyebabkan Norish melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti katering dari rumah dan memenuhi jemputan mengadakan ceramah motivasi. Sepanjang tiada tawaran lakonan juga, Norish menumpukan perhatian untuk promosi albumnya, Terus Melangkah.
Untuk tahun 2013, dia masih punya harapan untuk menjayakan promosi dan persembahan jelajah untuk album berkenaan ke seluruh negara.
"Mujurlah saya masih ada peminat yang terus memberi sokongan. Sekarang saya ada empat akaun Facebook kerana satu akaun tidak menampung jumlah pengikut yang ramai," akui Norish.
Berhubung kontroversi terbaharu dituduh sebagai artis perampas suami orang yang terpalit ke mukanya, ibu kepada empat orang anak itu menjelaskan dakwaan itu adalah kenyataan yang dilemparkan oleh seorang wanita yang pernah dianggap seperti kakak sendiri.
"Tuduhan itu buat saya bertambah sedih dan terkilan. Dia bukan sahaja kawan bahkan saya anggap sebagai kakak sendiri. Saya kenal rapat keluarga tapi tidak perlulah namanya disebut, saya tidak mahu dia pula yang dicerca oleh masyarakat.
"Ini semua kerana cemburu dan iri hati. Dia cemburu kerana anak-anaknya sangat rapat dengan saya. Dia mungkin kurang senang dan fikir saya mahu rampas suaminya. Saya langsung tidak tergamak untuk runtuhkan rumah tangga orang lagipun suaminya sudah berusia 66 tahun," jelas Norish.
Menurut Norish, dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada penyebar fitnah berkenaan. Dia cuma kesal kerana hubungan yang terbina selama lima tahun musnah begitu sahaja gara-gara prasangka tanpa usul periksa.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment