Dua maut manakala tiga lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dalam nahas di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei hari ini.
Kemalangan pukul 6.40 pagi ini berlaku hanya tujuh kilometer dari lokasi nahas ngeri membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori balak, kelmarin yang mengakibatkan empat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak terbunuh.
Lebih tragis, nahas terbaharu itu juga berlaku di lokasi sama yang menyaksikan lima warga Indonesia maut apabila MPV dinaiki mereka meletup selepas dirempuh sebuah lori muatan 10 tan, 10 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohamad berkata, kemalangan kali ini melibatkan dua lelaki dan dua perempuan yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara serta seorang wanita yang memandu Perodua Viva.
Dua penumpang Proton Iswara iaitu Anthony Wong Siow Wei, 28, dan Ling Lee Chen, 26 maut di tempat kejadian.
Sementara itu, pemandu kenderaan tersebut, Ling Tai Hung, 24, dan seorang lagi penumpang, Stephanie Ting Xiang, 20, serta pemandu Perodua Viva, Nora Karu, 40, cedera parah.
Menurut Mat Jusoh, Proton Iswara yang dipandu Tai Hung dalam perjalanan dari arah Sarikei ke Sri Aman namun hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali di tengah laluan.
“Dalam masa sama, Perodua Viva dipandu Nora yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan tersebut.
“Dua mangsa iaitu Anthony dan Lee Chen disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa lain termasuk pemandu Perodua Viva parah namun terselamat,” katanya.
Mayat Anthony dan Lee Chen dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat manakala tiga lagi mangsa yang cedera dirawat di Hospital Betong sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut. [wowberita]
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment