IPOH – “Pukul 2 petang sebelum saya pergi ke Pulau Pinang pada hari kejadian, anak-anak saya dah pakai baju raya,” kata pengasas produk kecantikan Vida Beauty Datuk Dr Hasmiza Othman.
Mengenang kembali saat-saat akhir bersama dua anak lelakinya yang maut dalam kebakaran dua hari lepas, Dr Hasmiza berkata anak-anaknya masih memakai baju berkenaan ketika kebakaran itu.
Dalam kejadian melibatkan rumah penginapan pekerja produk kecantikan Vida Beauty di Meru Hills, Bandar Meru Raya pada 9 malam, Sabtu lepas tiga maut termasuk dua anak Dr Hasmiza, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin, 11, dan adiknya Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin, 10, serta pekerja syarikat itu Muhammad Norsyamil Zaidi, 26.
Muhammad Eddie dan Muhammad Eddry adalah anak pertama dan kedua dari empat beradik.
Dua lagi pekerja yang berada dalam rumah itu ketika kejadian, Khairul Anuar Abu Bakar, 32, dan Rofie Ismail, 31, berjaya menyelamatkan diri.
Dr Hasmiza berkata ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang atas satu urusan dan menerima panggilan telefon pada 9.10 malam, yang memaklumkan rumahnya terbakar.
“Saya tanya, rumah mana? Mereka jawab rumah pekerja. Meraka kata anak ada dalam rumah tu. Sesuatu yang mengejutkan kerana anak saya tidak pernah pergi ke situ. “Setiap malam mereka akan menunaikan solat Tarawih tapi malam tu tak pergi Tarawih, saya akur mungkin ajal sudah memanggil mereka sebab dah tiga kali nak lari keluar (dari rumah semasa kebakaran) tapi tidak keluar.
“Sebagai contoh, mereka dengar api, mereka turun ke tingkat bawah, tetapi kemudian naik semula ke tingkat atas, pekerja saya Khairul dah dukung dan pegang anak-anak saya, tapi Syamil kata dia tak boleh bernafas dan masuk ke bilik air, anak-anak saya meronta-ronta nak ikut Syamil, padahal bukan rapat sangat dengan Syamil,” kata beliau yang tidak dapat menahan sebak sepanjang sidang akhbar di kediamannya di sini, Isnin.
Dr Hasmiza berkata beliau difahamkan ada pekerja yang mengajak anak-anaknya ke rumah berkenaan sementara menunggu kepulangannya dari Pulau Pinang sebelum mereka ke rumah anak yatim berhampiran untuk menyampaikan sumbangan.
Rumah kediaman pekerja berkenaan hanya terletak beberapa meter dari rumah keluarga Dr Hasmiza dan pejabatnya.
Menyifatkan Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie sebagai anak yang soleh, beliau berkata mereka tidak pernah meninggalkan solat serta gemar membaca Al-Quran.
“Saya nak hantar mereka ke sekolah tahfiz tapi saya kata sebelum saya hantar, saya nak ajar puas-puas dulu supaya mereka dah pandai, dan cikgu perlu ajar sikit-sikit sahaja,” katanya sambil menceritakan ketika pulang ke rumah pada malam kejadian, sejadah yang digunakan anaknya masih terbentang sedangkan kebiasaannya mereka akan lipat sejadah itu selepas solat.
Meskipun Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie telah meninggalkannya pada usia muda, beliau berpuas hati kerana banyak meluangkan masa bersama serta memberi pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. “Saya juga tak rasa menyesal tidak tengok mayat anak-anak saya. Saya rasa cukuplah saya dah tengok mereka dalam keadaan memakai baju raya petang itu,” katanya.
Usahawan wanita itu juga berkata beliau sudah melihat sebahagian rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada pihak bomba selepas melihat keseluruhan rakaman itu.
Pada sidang media itu, Dr Hasmiza turut menunjukkan dua jam tangan yang dipakai kedua-dua anaknya ketika kejadian, dan beliau percaya mereka meninggal dunia akibat sesak nafas berikutan asap tebal kerana jam tangan berkenaan masih dalam keadaaan baik.
Beliau juga menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada mercun kerana ketika kejadian, anak-anaknya sedang bermain permainan video di tingkat atas rumah berkenaan. – BERNAMA
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment