Pelihara Ular Sehingga Menjadi Gergasi.

on Thursday, May 23, 2013



Jangan kata melihat ular, memegang  pun kadangkala menjadikan sebahagian daripada kita akan takut. Namun memang normal kerana ular merupakan satu spesis haiwan liar yang mampu mencederakan manusia sehingga boleh membawa maut. Tetapi tidak kepada lelaki ini apabila berani memelihara seekor ular sawa dari bersaiz kecil sehinggalah kini ia bersaiz gergasi. Namun ular ini dikatakan jinak terhadap tuannya.

Seekor ular sawa diberi nama timangan Gaban kini mampu digelar ‘ular gergasi’ apabila beratnya mencecah lebih 130 kilogram dengan panjang lapan meter selepas dipelihara sejak 11 tahun lalu.


Reptilia milik Nor Hizan Abd Ghani, 55, atau Pak Atan mula dipelihara dari saiz sepanjang 60 sentimeter pada 2001 selepas anak saudaranya, Romi Nor Izham, (kini 21 tahun) meminta hadiah berkenaan ketika mahu berkhatan.

Pak Atan yang mengusahakan inap desa Kampung Pulau Pisang, Tunjang, di sini, berkata dia berminat memelihara reptilia berkenaan yang diperoleh dari pihak tertentu di Perlis bagi menunaikan hasrat Romi ketika berusia 10 tahun sebagai hadiah.

“Romi meletakkan syarat mahu ular sawa sebagai hadiah sebelum berkhatan, jadi sebagai tanda kasih kepadanya, saya berusaha mendapatkan reptilia berkenaan.

“Ia hanya sepanjang 60 sentimeter ketika diambil dan boleh diletakkan atas tapak tangan serta boleh dibawa ke mana-mana, namun selepas itu saya mengambil tanggungjawab memelihara ular sawa berkenaan memandangkan Romi masih bersekolah ketika itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Pak Atan berkata, ular sawa itu terpaksa diletakkan dalam pelbagai saiz akuarium di rumahnya hingga berusia enam tahun sebelum dimasukkan dalam sebuah sangkar khas dibina di luar rumahnya ketika berusia tujuh tahun hingga sekarang.

Menurutnya, dia memperuntukkan RM200 membeli 10 ayam daging untuk makanan Gaban setiap bulan dan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit untuk makan seekor ayam.

“Saya tidak rasa hobi ini satu bebanan kerana turut menjadi minat seluruh ahli keluarga, malah mereka sudah tidak takut dengan Gaban selain menjadi daya tarikan kepada inap desa kami yang sering dikunjungi pengunjung dalam dan luar negeri setiap hari.

“Setiap hari hampir 40 pengunjung datang melihat sendiri ular sawa berkenaan, namun ada juga pengunjung inap desa yang membatalkan niat menginap selepas mengetahui terdapat ular sawa dipelihara di sini,” katanya.

Dia bercadang membuat ‘roadshow’ dengan mempamerkan Gaban kepada orang ramai di mana-mana karnival bermula tahun depan.



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment