Pertemuan Epik Hangatkan Bolasepak Tanah Air

on Friday, May 31, 2013

Pertemuan Epik Pahang- JDT Hangatkan Bolasepak Tanah Air

KUALA LUMPUR – Bagaikan final. Begitulah harapan dan keghairahan yang terjelma menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) Sabtu ini, setelah tertunda ekoran insiden kekecohan penyokong di Stadium Darul Makmur, Kuantan dua hari lepas.
Kali ini, Stadium Nasional Bukit Jalil dijadikan gelanggang berkecuali bagi memastikan lebih ramai penyokong kedua-dua pasukan menyaksikan aksi perlawanan yang dijadual bermula pukul 8.45 malam.
Bukan sahaja kepada penyokong kedua-dua pasukan, malah peminat bola sepak tempatan secara keseluruhannya pastinya tidak sabar untuk melihat pertemuan epik antara Pahang dan Johor DT itu.
Dari sudut positif, kehadiran luar biasa penyokong bola sepak kedua-dua pasukan di Kuantan tempoh hari mencetuskan fenomena baharu bola sepak tanah air dan ia memberi petanda bahawa bola sepak masih kekal sebagai sukan nombor satu di Malaysia.
Namun sayang, perjalanan skripnya tidak mengikut plot yang diharapkan dalam menyuburkan kembali sokongan peminat kepada arena bola sepak negara, sehingga menyebabkan kedua-dua persatuan bola sepak negeri terbabit menerima padah.
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) selaku tuan rumah didenda maksimum RM100,000 dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak terkecuali turut didenda RM20,000 kerana insiden berkenaan.
Kepada peminat setia pasukan Pahang dan Johor DT, jangan terlalu ghairah dan insiden seumpama itu boleh dielakkan jika tatacara keselamatan dipatuhi semua pihak yang menerapkan nilai profesionalisme sejajar dengan bola sepak negara yang sudah memasuki era tersebut.
Bagi kedua-dua pasukan, pastinya mereka juga tidak sabar untuk melakukan sepak mula Sabtu ini, selepas ‘hajat’ mereka tersekat berikutan insiden yang belum pernah berlaku itu di negara ini.
Sambil mengharapkan insiden malang itu tidak berulang, Timbalan Presiden PBNP Datuk Seri Muhammad Safian Ismail meminta penyokong Pahang turun membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan padu kepada skuad Tok Gajah.
Beliau berkata semua pihak harus melupakan insiden itu kerana matlamat utama adalah untuk memastikan pasukan Pahang layak ke peringkat akhir sekali gus menjulang piala berkenaan.
Muhammad Safian juga meminta setiap persatuan bola sepak daerah menghantar kumpulan penyokong masing-masing ke Bukit Jalil kerana kehadiran mereka pastinya dapat menaikkan semangat pemain.
“Apa yang telah berlaku biarkan berlalu. Fokus kita sekarang adalah untuk menang dan tahap permainan pasukan juga semakin meyakinkan,” katanya kepada Bernama.
Bagi pemain paling senior dalam skuad Tok Gajah, Jalalludin Abu Jaafar, insiden yang berlaku itu sedikit pun tidak menjejaskan semangat pemain untuk berdepan Johor DT.
“Perubahan tempat di Bukit Jalil langsung tidak memberi kesan kerana kami memang telah bersedia berdepan Johor DT dengan membawa semangat yang ditunjukkan penyokong Pahang di Stadium Darul Makmur dua hari lepas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad berkata insiden kekecohan di Kuantan dua hari lepas, tidak mengganggu tumpuan pemain dan semangat mereka berada pada tahap terbaik untuk berdepan Pahang, Sabtu ini.
“Mereka (pemain Johor DT) merupakan pemain profesional dan sedar perkara yang berlaku itu adalah biasa dalam sukan.
“Kita sudah bersedia untuk bermain tidak kira di stadium mana dan sama ada dijalankan pada waktu siang atau malam. Yang penting kita akan berikan yang terbaik pada perlawanan berkenaan,” katanya.
Fandi yang juga pengurus pasukan Johor DT, berkata beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya menjaga disiplin dan fokus bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Kita sudah membuat persediaan terbaik dan semuanya terserah kepada pemain. Kita sudah sampai pada tahap ini, jadi kita tidak mahu Pahang tewaskan kita,” katanya.
Untuk rekod, Johor DT menang 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu lepas.
Menanti pemenang antara Pahang dan Johor DT pada perlawanan akhir yang dijadual pada 29 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, ialah Kelantan yang terlebih dahulu mengetepikan jiran tetangga, Terengganu dengan agregat 6-5 pada satu lagi separuh akhir dua hari lepas. – BERNAMA

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment