Catriona Ross : Ramadan Tanpa Ibu

on Saturday, June 29, 2013


Catriona Ross

SEBAGAI manusia, tiada dugaan dan cabaran yang paling besar selain kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata.Namun, yang pergi tetap akan pergi dan sebagai khalifah yang masih bernyawa, kita perlu meneruskan perjalanan hidup.

Diduga dengan kehilangan ibunda tercinta dalam nahas jalan raya pada Februari lalu, siapa yang mampu menduga gejolak di jiwa pelakon, Catriona Ross.Reda dengan ketentuan Ilahi, Catriona atau nama sebenarnya, Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, mengakui ia bukanlah situasi yang mudah untuk dipulihkan.

Menurut Catriona yang lebih mesra disapa Cat, walaupun insiden itu empat bulan berlalu, namun rasa rindu terhadap ibunya masih menebal.
“Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam hati saya. Kehilangan ibu memberi tamparan hebat buat saya kerana dia bukan sahaja ibu, malah teman baik, sahabat dan juga tempat saya mencurahkan segalanya.

“Paling saya ralat, anak kedua saya, Jammal Raess Ross’iddin, 11 bulan, tidak dapat mengenali neneknya seperti anak sulung saya, Sephia Rania Ross’iddin, 3.

“Namun, saya berusaha agar anak-anak sentiasa mengingatinya dengan menunjukkan gambar arwah setiap hari. Namun, saya bersyukur kerana ketika tempoh berpantang anak kedua, saya dapat meluangkan masa secara eksklusif dengannya di Kota Bharu, Kelantan,” katanya dalam keadaan sebak.

Pada 13 Februari lalu, ibu Cat, Siti Zawiyah Ab Rahman, 63, bersama tiga yang lain, terlibat dalam kemalangan maut di Gerik, Perak, apabila kenderaan yang mereka naiki gagal memotong dan dirempuh bas ekspres yang berada di laluan bertentangan.

Dalam kejadian itu, Zawiyah dan dua yang lain, maut manakala pemandu pula cedera.
Catriona Ross bersama suami dan anak keduanya.

Rasa rindu masih menebal

Kurang sebulan lagi, seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Pun begitu, Ramadan pertama tanpa ibu semestinya meninggalkan kesan yang mendalam buat Cat sekeluarga.

Katanya, sehingga kini, dia enggan memikirkan perkara itu kerana tidak mahu dirinya dirundung rasa sedih yang masih menebal.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Diri ini terasa sangat kosong dan ralat dengan apa yang berlaku. Setiap saat, setiap ketika, saya merindui arwah.

“Malah, ketika arwah masih ada, dia sering mengunjungi rumah saya. Setiap kali, dia akan berehat di sofa khas untuknya sambil menikmati kopi panas ketika menonton televisyen. Tiap kali saya menonton rancangan penyiasatan dan seram, saya akan teringat padanya kerana itulah rancangan kegemarannya.

“Mungkin sehari sebelum puasa, saya dan dua beradik yang lain akan berkumpul. Namun, sejujurnya, tiada persiapan seperti sebelum ini untuk menyambut puasa dan raya. Saya akan menyediakan pakaian untuk anak-anak sahaja.

“Tahun ini, saya akan beraya di rumah keluarga mertua. Saya bersyukur kerana masih mempunyai keluarga mertua dan ipar duai yang baik,” katanya yang mengambil kesempatan yang ada untuk menghasilkan buku kedua mengenai kisah hidupnya.

Menurut Cat, ramai yang bertanya kepadanya, bagaimana dia boleh mengharungi cabaran dengan tenang dan sekuat ini.

“Semuanya akan terjawab dalam buku itu. Siapa kita untuk melawan takdir dari Allah SWT. Namun, kita kena kuat dan saya turut mengamalkan beberapa teori dan cara untuk menangani masalah yang hadir.

“Insya-Allah, saya akan berkongsi cara dan teori itu bersama pembaca. Setakat ini, buku itu baru 10 peratus siap. Azam saya untuk menyiapkan buku ini juga adalah dorongan arwah ibu sebelum ini,” katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri slot Azalea, Hujan, tidak lama lagi.

sumber : http://www.media-gegar.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment