Mahu berjaya sebagai penyanyi

on Sunday, June 30, 2013


Warner Music realisasikan impian Maya Karin miliki album baru
Bebas daripada soalan berbaur peribadi yang sudah ditebak jawapannya, Maya Karin teruja apabila perbualan lebih terarah kepada perancangan kerjayanya. Biar sering dihadapkan persoalan yang serupa sejak kembali solo selepas berpisah dengan bekas suaminya, Muhammad Ali Shorthose, tiga tahun lalu, Maya menarik sedikit nafas lega apabila diajak berkongsi topik lebih serius.

Saya akur karier nyanyian belum mampu untuk membawa saya berbangga seperti pencapaian diraih dalam lakonan. Tetapi itu tidak pernah membuat saya ingin berundur.

Tanpa berselindung mengakui, peningkatan usia mampu membataskan langkah seseorang anak seni untuk terus meneroka kemampuan namun perkara itu tidak pernah terjadi kepadanya.
"Kesibukan itu bagai tiada henti, selain penggambaran filem dan rakaman album, saya juga diundang menjadi pengacara majlis bertaraf global serta terbabit dalam kerja kebajikan berkaitan alam sekitar. Ketika usia meningkat dan semakin ramai bakat baru meraih ruang selesa, saya masih tidak dilupakan. Itu sudah membuat saya terlalu bersyukur," kata Maya yang menerjah industri seni pada 2000 sebagai pengacara program Wavelength.

Wanita berketurunan Melayu-Jerman itu berkata, kesibukan berterusan memaksanya mencari dahan kukuh untuk berpaut terutama dalam pengurusan kerjayanya selepas tempat naungannya dulu menutup operasi. Lima tahun bersama Satu Entertainment, meskipun berat namun Maya terpaksa melangkah menyusun laluan sendiri.

Maya bagaimanapun bernasib baik apabila Audi Mok masih mengambil berat mengenai perjalanan kariernya, lalu memperkenalkannya kepada pengurusan Warner Music.
"Bermula daripada perbincangan mengenai urusan pengedaran album, Warner akhirnya menawarkan ruang untuk saya bernaung secara profesional. Atas kepercayaan kepada Audi yang saya anggap seperti abang sendiri, saya bersetuju kerana mereka memiliki pasukan pengurusan yang tersusun.

"Saya bukan hanya pelakon yang perlu berada di lokasi. tanggungjawab itu turut menuntut fokus tinggi dalam menghayati watak, selain terpaksa berurusan pelbagai pihak.
"Saya tidak mahu kerana tamak, kerjaya dan hubungan dengan media dan pelanggan jadi kacau bilau. Untuk terus maju, saya percaya artis memerlukan pengurusan yang bagus," katanya yang sudah tiga bulan menyertai Warner Music.

Meskipun berpengalaman hampir 13 tahun, Maya melihat pengurusan artis sebagai satu perkara penting yang membantu memanjangkan langkahnya.

"Banyak aspek perlu dititikberatkan seseorang artis, terutama berkaitan hal kreativiti. Mengapa perlu memperjudi diri memikirkan hal kecil sedangkan banyak perkara lain perlu diberi fokus?
"Artis sebagai produk memerlukan pengurus yang baik. Mereka tidak hanya berperanan menjawab panggilan dan berunding hal berkaitan tawaran, sebaliknya turut memikirkan wawasan dan visi memajukan kerjaya seseorang artis.

"Sama seperti membuka sebuah syarikat, pengurus harus mempunyai perancangan, struktur kewangan dan memahami artis sebagai produk yang berdepan saingan.
"Saya tidak mampu menangani tanggungjawab itu seorang diri. Saya juga berasakan artis tanpa pengurusan yang baik hanya merugikan diri sendiri," katanya.

Keinginan untuk meneruskan karier nyanyian sudah lama bertunas dalam dirinya, cuma entah kenapa perancangan itu seperti tertunda.

"Mungkin ketika itu Tuhan belum mengizinkan. Bukan tidak berusaha kerana saya sudah merakamkan beberapa lagu, termasuk single Sinar Ini tetapi penerbitan album ketiga tidak juga menjadi kenyataan.
"Saya akur karier nyanyian belum mampu untuk membawa saya berbangga seperti pencapaian diraih dalam lakonan. Tetapi itu tidak pernah membuat saya ingin berundur.
"Kepercayaan diberi umpama bintang yang jatuh dari langit kerana sementara menunggu filem ditayangkan, saya berikan dulu fokus kepada nyanyian," katanya.

sumber : http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment