Debaran Penantian Izreen

on Tuesday, July 2, 2013

Mungkin sudah minat dalam bidang lakonan, meskipun dalam tempoh istirehat, Izreen tetap menerima tawaran lakonan ketika kandungannya enam bulan. Katanya, dia menerima tawaran dalam telefilem Barakah yang akan ditayangkan pada hari raya kedua di RTM itu kerana wataknya sebagai ibu hamil.

"Saya curi-curi bekerja. Tambahan pula, wataknya sangat sesuai iaitu sebagai ibu hamil. Saya tidak perlu bergerak banyak dan penggambaran hanya mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja. Jadi, apa salahnya asalkan saya utamakan kesihatan saya dan bayi dalam kandungan," balasnya.

Disoal tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, Izreen hanya tersenyum dan memberitahu dia enggan mendedahkan jantina bayi yang bakal lahir.

"Rahsialah, tunggu sampai saya lepas bersalin nanti (ketawa). Saya dan suami memang sudah tahu, tetapi kami ingin menjadikan saat kelahiran itu istimewa buat kami berdua. Jadi lebih baik rahsia dahulu daripada orang lain.

"Saya percaya petua orang dahulu kata, jangan terlampau teruja dan seronok menyambut kelahiran anak pertama. Jadi, biarlah saya simpan semuanya sehingga saat akhir, nanti lambat laun orang akan tahu juga," tuturnya.

Berbicara tentang perubahan berat badannya, Izreen memberitahu berat badannya kini mencecah 75 kilogram daripada berat asal iaitu 53 kilogram.
IZREEN mahu merahsiakan jantina anaknya daripada pengetahuan umum.
Dia bagaimanapun tidak bimbang dengan berat badan naik mendadak kerana menurutnya kenaikan berat badan adalah sesuatu yang normal. Selagi tidak menganggu kesihatannya, dia bebas makan apa sahaja.

"Saya jenis yang makan apa sahaja yang ada depan mata. Tidak pernah mengidam, tetapi kalau sudah nampak memang saya akan makan banyak. Orang kata waktu hamil saya boleh makan sepuasnya, sebab semasa berpantang, saya akan berusaha untuk mendapatkan berat badan asal semula," katanya.

Akui Izreen yang berdebar menanti kelahiran anaknya, dia merancang untuk melahirkan anak di Hospital Ampang Puteri, Selangor dan berpantang di Kuala Lumpur sahaja.

"Memang mulanya saya merancang ingin berpantang di kampung halaman di Perlis, tetapi jauh sangat perjalanannya selepas bersalin. Suami pula kerjanya sebagai jurukamera tidak tentu masa dan lokasi, jadi lebih baik saya berpantang di Kuala Lumpur, mudah untuk suami melihat saya dan anak.

"Saya tetap minta ibu saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya ketika berpantang kerana ibu lebih memahami saya daripada orang lain," ujarnya yang akan kembali bekerja selepas hari raya Aidilfitri.

Disoal apakah persiapan yang telah dilakukan untuk menyambut kelahiran anaknya, Izreen menjelaskan segalanya telah disiapkan memandangkan tempoh waktu untuknya bersalin cukup dekat.

"Semua sudah siap, baju, kelengkapan bayi dan keperluan saya sendiri sebagai bakal ibu. Bila lihat barang-barang bayi, saya rasa tidak sabar untuk pegang anak sendiri, tetapi dalam masa yang sama bila dengar cerita rakan-rakan kesakitan waktu bersalin, saya jadi takut pula," katanya yang dijangka bersalin secara normal.

Sama seperti ibu bapa yang lain, pastinya Izreen dan suami ingin yang terbaik untuk anak mereka. Namun, sebolehnya, Izreen enggan anaknya mengikut jejak langkahnya terlibat dalam bidang seni kerana tahu kesukaran sebagai penggiat seni.

"Kalau boleh saya mahu dia berjaya dalam bidang akademik dan memilih kerjaya yang menjamin masa depan seperti peguam atau doktor. Jika, dia mahu terlibat juga dalam bidang seni, dia harus berjaya mendapat segulung ijazah terlebih dahulu," ceritanya tentang perancangan masa hadapannya.

sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment