Barisan pelakon yang meminjamkan suara mereka untuk filem The Smurfs 2 iaitu (dari kiri) Zizan Razak, Elfira Loy, Lisa Surihani, Hafizuddin Fadzil, Aznil Nawawi dan Ray.
Gabungan suara selebriti terkenal tanah air akan memberi kelainan dalam filem The Smurfs 2 versi bahasa Malaysia yang akan ditayangkan di pawagam bermula 8 Ogos ini.
Penerbit alih bahasa tersebut, Wan Muhamad Wan Abdul Rahim berkata, pihaknya optimis versi berkenaan mampu menarik minat penonton untuk menonton di panggung wayang terutamanya di kalangan penonton berbangsa Melayu.
"Jika di luar negara proses alih bahasa adalah perkara biasa dan di Malaysia ia masih baru dan penonton masih belum biasa dengan trend tersebut.
"Bagaimanapun dengan barisan selebriti terkenal yang menyumbangkan suara mereka kami yakin ia akan dapat menarik minat mereka," katanya kepada mStar Online.
Antara selebriti yang terlibat dalam alih suara untuk versi The Smurfs 2 ini ialah Datuk Aznil Nawawi sebagai Gargamel, Hafizuddin Fadzil (Papa Smurf), Lisa Surihani (Smurfette), Zizan Razak (Vanity), Elfira Loy (Vexy) dan Ray (Grouchy).
Dalam pada itu, Wan Muhamad berkata, menerusi proses alih bahasa itu juga ia dilihat sebagai mampu memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia di kalangan rakyat negara ini.
The Smurfs 2bakal ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 8 Ogos depan.
"Saya harap bahasa Malaysia itu terus diangkat dan biarlah suatu hari nanti filem animasi ini berjaya dan setanding dengan bahasa asalnya.
"Orang lebih suka menonton versi asal sehingga ada yang kurang yakin dengan kebolehan kita dalam menterjemahkannya ke dalam bahasa Malaysia," katanya.
Sementara itu, Elfira yang meminjamkan suara sebagai Vexy mengakui menggalas tugas mengalih suara bukan mudah dan memerlukan kesabaran tinggi sepanjang proses tersebut.
Jelasnya lagi, tahap konsistensi dalam mengekalkan karakter suara sangat penting namun mengakui seronok menimba pengalaman sepanjang terlibat dalam filem berkenaan.
"Saya telah melakukan proses tersebut selama 20 jam dan nyata ia sebenarnya lebih sukar daripada lakonan biasa kerana perlu memberikan karakter kepada suara.
"Pun begitu saya seronok dan mahu melakukannya lagi sekiranya diberi peluang," jelasnya.
sumber : http://mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment