Eksperimen 'Menjadi'

on Sunday, July 7, 2013


ASALNYA mereka hanya disatukan untuk menyertai acara Versus yang mengumpulkan kumpulan-kumpulan muzik untuk bersaing sesama sendiri. Tidak menyangka penubuhan Go Gerila ketika itu begitu 'menjadi', mereka sepakat untuk meneruskan agenda biarpun program tersebut sudah berakhir.

Menggunakan nama Go Gerila sebagai sebuah projek khas kumpulan muzik Aizat Amdan, Go Gerila turut dianggotai oleh Anas Amdan, Amir Jahari, Ruvi, Pito dan Ashraf yang bertindak menjadi tulang belakang selama ini.

"Memang pada asalnya Go Gerila hanya untuk program berkenaan. Tapi sebaik sahaja tamat program itu kami dapat lihat sambutan peminat begitu menggalakkan dan membuatkan semua bertambah semangat untuk buat sesuatu.

"Kemudian kami setuju untuk menghasilkan album khas Go Gerila untuk mereka yang selalu tertanya-tanya. Nampaknya album ini menjadi walaupun sedikit lewat," kata Aizat ketika ditemui baru-baru ini.

Hampir setahun menyiapkan album ini, Anas yang juga merupakan abang kepada Aizat menyatakan yang mereka terpaksa mencuri-curi masa untuk merakamkan lagu memandangkan banyak lagi projek lain yang harus diselesaikan dahulu.

Meskipun begitu, Anas tidak menafikan yang lagu-lagu dalam album BlackBox ini merupakan hasil eksperimen ke semua anggota kumpulan untuk menghasilkan muzik yang lebih segar, progresif dan dinamik seperti yang diimpikan.
"Selama ini semua orang berkarya mengikut cita rasa muzik masing-masing. Aizat mungkin lebih kepada pop dan orang lain lebih kepada jazz dan rock.
"Untuk cipta lagu dalam Go Gerila kita ketepikan muzik itu untuk bereksperimen sesuatu yang baru. Kita menghasilkan karya yang tak pernah kita buat untuk melihat sisi lain setiap ahli dan nampaknya semuaitu 'menjadi'," jelas Anas lagi.

Bagi Aizat hala tuju Go Gerila cukup jelas. Ini hanyalah kumpulan projek khas dan dia sendiri masih belum bersedia untuk meninggalkan terus kerjaya sebagai penyanyi solo demi kumpulan tersebut.
Cuma dia mahu memastikan reaksi peminat yang akhirnya akan menentukan hala tuju album yang mereka anggap 'belasahan' ini.

"Masih banyak perkara yang saya kurang berpuas hati terutama dalam aspek teknikal. Mungkin kecil bagi orang lain tetapi saya tetap rasa kurang sedap.
"Sejak awal lagi memang banyak pertembungan idea antara ahli Go Gerila sendiri. Masing-masing nak bawa haluan muzik sendiri ketika proses kreatif berlangsung.
"Tapi perkara ini yang kita mahukan sebab akhirnya menghasilkan sesuatu yang baru dan hebat. Walaupun berselisih pendapat tapi kita tetap sepakat pada akhirnya," tambah Aizat.

Berlainan pula hal dengan Amir Jahari. Dia yang juga merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-sembilan baru sahaja melancarkan album sulung yang berjudul Penghibur Jalanan bulan lepas.
Bagi Amir, walaupun ada suara-suara nakal yang mengatakan jarak antara album solo pertamanya dan album Go Gerila terlalu dekat dan bakal memberikan sedikit kesan negatif, dia tidak berpandangan begitu.
"Tidak ada apa yang perlu saya risaukan walaupun kedua-dua album ini dekat. Apa yang pasti kedua-dua album ini berlainan genre dan sudah pasti tidak memberikan apa-apa masalah pada masa hadapan.

"Peminat saya yang sudah tahu jalur muzik saya tetap akan membeli album saya. Sebaliknya untuk album BlackBox ini merupakan gandingan saya dengan ahli-ahli yang lain.

"Muzik yang kami tampilkan juga merupakan muzik yang memang lain. Kalau boleh saya mahu kedua-dua album ini mendapat sambutan dan meninggalkan impak kepada masyarakat," katanya jujur.
sumber : http://www.utusan.com.my/


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment