Pelajar terperangkap dikeluarkan dari bangunan kampus RETI yang terbakar. |
Pelajar yang cedera menerima rawatan kecemasan oleh JPAM Kemaman |
Hasil tindakan cepat pihak polis yang segera tiba di lokasi kejadian sebaik dihubungi, pelajar yang mengamuk berjaya ditangkap kira-kira jam 9.36 pagi, namun situasi agak cemas kerana bangunan itu turut dibakar pelajar terbabit.
Bagaimanapun, insiden itu hanya simulasi yang dilakukan dalam latihan respons kecemasan kes amuk oleh RETI bagi menguji semua petugas, pelajar dan kakitangan serta agensi jika berlaku kes seumpama itu di kampus.
Selain 1,500 pelajar dan staf RETI, latihan itu melibatkan 18 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, 10 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan lapan pegawai, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman serta pihak Hospital Kemaman.
Ketua Pegawai Eksekutif RETI, Kapten Dr Ramlan Ramli berkata, sesi latihan itu melakar rekod tersendiri kerana pelajar dan kakitangan RETI hanya mengambil masa lima minit untuk keluar dari bangunan dan berkumpul.
“Kita adakan sesi latihan melibatkan agensi luar ini setahun sekali dan untuk masa akan datang, kita akan adakan secara lebih realistik bagi menguji tahap kecekapan semua pihak,” katanya selepas selesai sesi latihan berkenaan yang turut disertai Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Inspektor Mohd Khairi Abdullah.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mat Zakri Che Long berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak pihak mengadakan sesi latihan seperti itu, kerana ia juga menguji kecekapan pegawai bomba.
“Kita sediakan bantuan dengan sepenuhnya dan untuk latihan ini, dua pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai bergegas ke lokasi kejadian iaitu pasukan pemadaman dan pasukan penyelamat,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment