Aktres popular Indonesia tidak sanggup hadapi kegagalan rumah tangga
Naik turun sebuah kehidupan menjadi lumrah yang harus ditempuhi setiap insan. Aktres yang melonjak lewat sinetron, Pacar Khayalan dan filem, Eiffel I’m In Love, Shandy Aulia turut merasai getir dalam mengejar cita-citanya.
Pelakon berusia 26 tahun itu mengakui, terlalu banyak dugaan yang menghalangi perjalanan kariernya malah pernah suatu ketika, dia berdepan kegagalan demi kegagalan.
“Setiap kita pernah mengalami jatuh bangun dalam kehidupan. Saya juga pernah gagal, tetapi saya enggan tunduk dan hanya pasrah kepada nasib,” katanya.
Pemain watak Tita dalam filem, Eiffel I’m In Love itu berkata, dia tidak pernah gentar untuk berdepan rintangan yang menanti di depan matanya.
“Sudah berkali-kali saya gagal, namun paling ditakuti kegagalan berumah tangga. Perkahwinan adalah cermin kehidupan, sama ada dalam karier saya atau hal peribadi lain.
“Keluarga bagi saya adalah pelita yang menerangi hidup,” kata isteri kepada ahli perniagaan, David Herbowo yang disatukan di Bali, Indonesia pada 12 Disember 2011.
Sedang berusaha untuk menyempurnakan sebuah biografi, Shandy berkata, tulisannya itu merangkumkan perjalanan hidupnya sejak kecil terutama membesar dalam keluarga berbeza pegangan.
Bapanya, Kemas Yusuf Effendy berasal dari Palembang dan menganut Islam, manakala ibunya, Elyse Dopong membesar di Manado dan beragama Kristian.
Ketika Shandy berusia 3 tahun, kedua orang tuanya memilih untuk membawa haluan sendiri. Shandy terpaksa berpisah dengan tiga kakaknya yang memilih untuk membesar bersama bapa mereka.
“Saya mulai biografi ini dari kecil, bagaimana saya membesar dalam keluarga berbeza agama. Ketika di bangku sekolah, saya di kelilingi lingkungan tidak sihat kerana pernah menjadi mangsa buli,” katanya.
sumber : http://www.bharian.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment