Dilabel sebagai eksklusif, peluang bertemu penyanyi tersohor, Anuar Zain ini hanya ketika dia membuat persembahan yang kebanyakan tertutup dan berbayar.
Perkembangan mengenai kehidupan sehariannya tidak mungkin dapat dijejaki dalam mana-mana laman sosial khususnya Twitter, Instragram dan Keek yang menjadi medium interaksi antara selebriti dan peminat.
Anuar mempunyai pendirian sendiri mengapa dia memilih cara yang menongkah ‘trend’ masa kini. Bukan tidak mahu kehidupan peribadinya diintai setiap hari, tetapi kesibukannya membataskan dia berbuat demikian selain menyimpan sedikit ruang ‘privacy’ untuk diri sendiri.
Pendek kata, peluang bertemu penghibur dilahirkan pada tanggal 15 Februari 1970 dengan nama Shahrul Anuar Zain, itu bukan mudah.
Namun, Nur Hafeza Rahmat, 32, dan Azaril Ameer Yahaya, 32, menjadi antara ribuan peminat Anuar yang cukup bertuah. Mereka bukan saja dapat bertentang mata dengan Anuar malah berpeluang menikmati makan malam secara eksklusif di Melting Pot tajaan Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini bersama penghibur yang mencipta nama menerusi lagi Kain Pelikat tiga dekad lalu.
Nur Hafeza dan Azaril adalah dua pemenang utama kuiz anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Harian Metro bersempena konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari lalu di Stadium Malawati Shah Alam.
Tentunya perasaan bangga turut dikongsi teman-teman mereka, Faiz Nor Ain Hamzah, Farah Aini Hamzah dan Mohamad Ridzuan Abdul Mutalib, apabila setiap pemenang dibenarkan membawa pasangan atau rakan masing-masing.
Tiba di lobi hotel pada jam 8.10 malam, Selasa lalu, Anuar berkemeja kuning cair, dipadan celana denim biru gelap dan blazer kelabu, kelihatan tenang dan mesra seperti biasa. Tidak bersendirian sebaliknya bersama ‘entourage’ dari Anuar Zain Network terdiri daripada dua pengurus, Nana Ahmad dan Dura Talib termasuk Pengurus Pronosi, Sam Kassim.
Betapa dia menghormati majlis dan peminatnya, Anuar tidak memulakan makan malam kerana setia menunggu sehingga semua tetamu istimewanya tiba.
Apabila semuanya sudah lengkap, Anuar berbual mesra dengan peminatnya dan dilihat menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya.
“Majlis malam ini, sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan. Sudah lama kita nantikan untuk adakan program seperti ini selepas konsert saya tempoh hari. Tetapi banyak waktu terpaksa di tangguh kerana jadual saya yang tidak mengizinkan.
“Alhamdulillah malam ini, akhirnya dapat juga majlis ini dilaksanakan. Pemenang yang hadir pun, mereka tenang-tenang saja, semuanya baik-baik.
“Lama dulu saya pernah juga adakan majlis seperti ini tetapi jarang sekali dapat peluang. Selalunya, berjumpa di majlis undangan nyanyian yang saya hadiri,” katanya.
Biarpun ada yang melabelnya eksklusif, Anuar secara peribadi berpendapat hubungannya dengan peminat tidak putus malah berterusan sehingga di luar pentas. Tambahan pula, setiap kali keluar rumah atau mengunjungi mana-mana tempat, dia tidak pernah menghalang peminat mendekatinya.
“Kadang-kadang keluar tidak merancang, kan? Jadi peminat yang jarang melihat kita datang untuk bergambar dan hendak berbual, saya akan melayani mereka sehabis yang saya boleh. Saya sangat-sangat bersyukur ada peminat yang menyokong kerjaya saya dari mula kini menjadi sahabat saya pun.
“Yang membuatkan saya terharu walaupun mereka sudah dianggap sebagai sahabat, belum pernah di antara mereka jenis ambil kesempatan. Misalnya setiap kali ‘show’ mereka tidak pernah lokek membeli tiket,” katanya.
Menghala perbualan pada perkembangan kerjayanya, akui Anuar, sememangnya dia mahu mengadakan edisi kedua Konsert Anuar Zain 3 Dekad : Muzik, Cinta dan Sanubari, jika ada yang sudi menawarkan dari segi penajaan. Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang perancangan ke arah itu.
sumber :http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment