JAKARTA – Seorang Menteri Kanan Indonesia mengecam Singapura berkaitan isu jerebu dengan berkata: “Singapura tidak seharusnya bersikap seperti kanak-kanak…”
Menteri Penyelaras Kebajikan Rakyat, Agung Laksono yang bertanggungjawab menyelaras bantuan negara itu dan usaha tindak balas, pada sidang akhbar pada hari Khamis berkata: “rakyat Indonesia juga perlu dijaga, ratusan mereka.”
“Ia bukan apa yang Indonesia mahu, ia adalah masalah alam semula jadi,” katanya.
Terdahulu, beliau memberitahu pemberita bahawa Singapura tidak berkata apa-apa apabila terdapat udara segar, tetapi mengadu tentang jerebu yang berlaku sekali-sekala.
Agung juga menyangkal kritikan bahawa Indonesia masih belum mengesahkan perjanjian Asean mengenai pencemaran jerebu merentasi sempadan.
“Singapura adalah seperti itu. Isu sempadan belum diselesaikan, begitu juga ekstradisi, rasuah.”
Ditanya mengenai tawaran bantuan, beliau berkata: “Jika ia hanya setengah juta (dolar), lebih baik kami menggunakan bajet kami sendiri.”
Terdahulu pada hari Khamis, Agung mengetuai mesyuarat dengan menteri-menteri berkaitan isu luar, perhutanan dan alam sekitar Indonesia untuk maklumat terkini mengenai situasi jerebu yang meliputi sebahagian besar wilayah Riau.
Ketua Pegawai Eksekutif Singapura National Environment Agency, Andrew Tan juga berada di Jakarta untuk mengadakan pertemuan dengan para pegawai negara berkenaan hari ini.
Agung berkata, pembenihan awan untuk mendorong hujan akan dijalankan secepat mungkin. Garam (untuk pembenihan) sudah siap, kapal terbang berada di tempat, tetapi perlu ada awan, katanya.
“Pembakaran ini bukan sentiasa di atas tanah,” katanya. “Kebanyakan ia adalah di bawah permukaan.”
Dianggarkan seluas 850 hektar tanah telah terbakar beberapa hari kebelakangan ini, dan pegawai-pegawai telah memadamkan kebakaran di kawasan seluas 650 hektar, katanya.
Kerajaan juga menyiasat syarikat-syarikat yang bertanggungjawab, katanya.
“Jika ada (syarikat yang terlibat melakukan pembakaran), ada yang dimiliki oleh (usahawan) Indonesia, Malaysia dan Singapura,” katanya. “Kami akan mengambil tindakan jika mereka didapati bertanggungjawab. Tetapi perlu ada satu proses.”
Pada Rabu, Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata, Indonesia belum mengesahkan perjanjian Asean mengenai memerangi jerebu merentasi sempadan, tetapi berkata dalam realiti, “kami telah mematuhi sepenuhnya apa yang diperlukan dan dijangkakan.”
“Mari kita fokus pada memadamkan api dahulu dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan,” katanya.
(Petikan: Straits Times)
**Rasanya ini bukan isu sesiapa bersikap seperti kanak-kanak…ini isu yang berulang selama puluhan tahun dan melibatkan kesihatan jutaan rakyat di negara selain Indonesia. Sepatutnya ia sudah diselesaikan lama dahulu. Kalau ada syarikat luar yang melakukan pembakaran sehingga terjadi jerebu, ia berlaku di bumi Indonesia…ambilah tindakan yang sewajarnya. sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment