Sangat Bahaya! Perdaya Wanita Dengan Spiked Drinks

on Wednesday, June 5, 2013


Sangat Bahaya! Perdaya Wanita Dengan Spiked Drinks | Pada zaman sekarang, boleh dikatakan wanita pada hari ini wanita sering dijadikan sasaran oleh lelaki untuk tujuan-tujuan tertentu. Antara tujuan negatif adalah seperti kes rogol,  cabul kehormatan sebagainya. Perkara ini sebenarnya amat membimbangkan. ADMIN mengambil inisiatif berkongsi dengan wanita di luar sana tentang satu istilah yang dikenali sebagai Spiked Drinks. Tahukah kalian, air yang diminum dalam sekelip mata membuatkan anda akan hilang pertimbangan sehingga tidak sedarkan diri.
dadah
ISTILAH ‘spiked drinks’ mungkin asing bagi segelintir daripada kita. Namun jika diberi gambaran maksud sebenar istilah ini, pasti ramai yang akan teringat kisah drama atau filem  yang pernah ditonton di televisyen.
Ini berikutan jenayah atau modus operandi menggunakan ‘spiked drinks’ ini sebenarnya begitu banyak didedahkan atau dipamerkan menerusi drama atau filem yang ditayangkan.
‘Spiked drinks’ adalah istilah untuk minuman yang dimasukkan dengan bahan asing seperti dadah atau alkohol tanpa pengetahuan pemilik minuman atas pelbagai tujuan jahat.
Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa tidak tahu akan muslihat ini dan hanya menyedari diperdaya setelah nasi menjadi bubur. Individu yang menjadi sasaran selalunya terdiri daripada mereka yang gemar bersosial kerana lebih mudah untuk didekati.
Mereka yang pertama kali keluar temu janji juga kerap menjadi mangsa. Namun ada juga yang sengaja mengambil ‘spiked drinks’ sebagai hiburan atau untuk menghilangkan tekanan.
Ikuti kupasan modus operandi kali ini serta tip yang boleh membantu anda mengelak dari menjadi mangsa.
Tip elak jadi mangsa
- Maklum pada keluarga atau rakan baik lokasi berada serta dengan siapa anda keluar serta jangkaan waktu anda akan pulang.
- Pilih minuman yang belum dibuka atau dalam tin. Jangan minum dari gelas yang sudah disediakan lebih awal.
- Jika minuman dalam gelas, tutup permukaan gelas tersebut dengan tapak tangan dalam apa-apa cara sekalipun sehingga sukar untuk sesiapa cuba meletakkan sesuatu ke dalam minuman itu terutamanya ketika anda leka berbual atau sebagainya.
- Awasi minuman setiap masa. Jangan tinggalkan begitu sahaja dan minta rakan menjaganya.
- Sebaiknya habiskan minuman terlebih dahulu, sebelum ke tempat lain seperti tandas.
- Jika ragu-ragu dengan minuman yang ditinggalkan, pesan minuman baru.
- Terima minuman hanya daripada orang yang anda percaya dan jika ditawarkan minuman oleh seseorang yang tidak dikenali, tolak pelawaan tersebut secara sopan.
- Kenal pasti tanda-tanda yang meragukan antaranya seperti:
= gelas minuman dialihkan dari kedudukan asal
= Warna minuman
= Kuantiti air dalam gelas bertambah
= Bau minuman yang ganjil
= Terdapat buih yang mencurigakan pada minuman
= Berhenti segera jika minuman yang diteguk terasa lain. Anggap keadaan di tempat itu tidak lagi selamat dan beredar secepat mungkin.
= Hubungi  keluarga atau rakan baik dengan segera jika khuatir untuk pulang seorang diri.
Pengalaman mangsa
Gadis berambut ikal mayang yang hanya mahu dikenali sebagai Zara, 22, berkata, dia nyaris menjadi mangsa selepas keluar dengan seorang rakan lelaki yang dikenali melalui laman sosial kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, sepanjang mereka berinteraksi di alam maya, lelaki terbabit, Ashraf (nama samaran) sangat baik dan sikapnya begitu menyenangkan.’
Katanya, perhubungan mereka yang pada mulanya sekadar rakan biasa mula bertukar menjadi sayang.
“Dalam tempoh tersebut walaupun tidak pernah bertemu, kami mula bercinta.
“Tidak cukup berbual di internet serta berbalas e-mel, kami kerap ‘bergayut’ di telefon sehingga lewat pagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Zara berkata, setelah lama bercinta di alam siber, mereka mula mengatur temu janji kononnya mahu bersemuka dan bercinta seperti pasangan lain. Mereka bersetuju untuk bertemu di sebuah kelab hiburan di ibu negara awal bulan lalu.
“Saya sangat teruja kerana dia begitu romantik menghadiahkan bunga serta coklat ketika pertama kali berjumpa. Layanannya cukup istimewa.
“Namun semuanya berubah apabila saya terlihat perbuatan kotornya memasukkan sesuatu ke dalam minuman saya,” katanya.
Beliau berkata, sebelum itu dia ke bilik air, namun berpatah balik apabila menyedari tas tangan tertinggal atas meja.
Katanya, ketika itulah dia melihat, Ashraf memasukkan sesuatu seperti serbuk ke dalam minumannya.
“Tangan saya menggeletar, terkejut dan buat seketika, fikiran terasa kosong. Saya tak pasti serbuk apa tapi mungkin dadah.
“Saya sangat kecewa tetapi saya kembali ke meja tersebut dan berlagak seperti biasa,” katanya.
Zara berkata, tepat jangkaannya apabila Ashraf tiba-tiba mengangkat gelas minuman yang dicampurkan serbuk dan menghulurkan kepadanya.
Menurutnya, dia menolak minuman itu dan meminta diri untuk ke bilik air sekali lagi,kononnya ingin mengambil telefon bimbit yang tertinggal di sana. Dia terus keluar dari kelab hiburan itu dan pulang ke rumah.
“Saya lega kerana membawa kereta sendiri dan tidak menjadi mangsa kepada lelaki tak guna itu.
“Selepas kejadian itu, Ashraf ada menghubungi saya menerusi laman sosial serta telefon, namun saya tidak mengendahkannya,” katanya yang kini lebih selektif dalam berkawan kerana tidak mahu terpedaya lagi.
Sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment