Ketepikan soal senarai 20 seleksi lagu yang menjadi taruhan Dato Siti Nurhaliza,34 ketika konsert Siti Nurhaliza in Symphony berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 hingga 7 Julai lalu kerana kelunakan suara buluh perindu milik penyanyi kesayangan ramai itu bersama iringan 80 pemuzik dari Orkestra Philharmonic Malaysia (MPO) nyata cukup memukau penonton.
Berbeza daripada biasa, suasana indah DFP yang hanya mampu memuatkan kapasiti penonton yang tidak ramai dalam satu-satu persembahan itu telah memberikan impak luar biasa kepada sekalian peminat diva tersohor berkenaan.
Mana tidaknya, selain senyuman yang setiasa menguntum di wajah Dato' Siti, pengalaman sebagai penyanyi memberi kelebihannya untuk layak bergelar penglipur lara dengan senda loka yang diberikan sepanjang konsert berlangsung.
Malah pada malam pertama persembahan iaitu pada 5 Julai lalu, Dato Siti yang anggun menggayakan dua persalinan indah rekaan Khoon Hooi itu tidak sudah-sudah melafazkan perasaan syukur dalam setiap kesempatan diantara persembahan lagunya.
"Memang perasaan gementar itu ada pada malam pertama persembahan saya ini. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Bukannya apa, menyanyi bersama-sama orkestra MPO bukanlah satu kerja yang mudah sebagaimana yang pernah dikatakan Tan Sri SM Salim sebelum ini.
"Kerana sebagai penyanyi dan pemuzik orkestra kami perlu berjalan seiringan atau serentak. Alhamdulillah saya sudah dapat momentum yang diinginkan," katanya sebaik sahaja selepas konsert malam pertama Jumaat lalu.
Merupakan konsert penutup tirai DFP untuk musim 2012/2013, Siti menjadi artis tempatan keempat yang pernah mengadakan konsert solo diiringi lebih 80 pemuzik bertaraf antarabangsa himpunan MPO di bawah pimpinan Kevin Field.
Dato' Siti telah mempersembahkan beberapa lagu popularnya seperti Kau Kekasihku sebagai persembahan pembukaan, diikuti Badarsila, madley Jerat Percintaan, Bukan Cinta Biasa, Diari Hatimu dan juga Percayalah.
Tidak ketinggalan Hanya Dia, Di Taman Teman, Biarlah Rahsia, Seindah Biasa, Cindai, Senandung Semalam, Lebih Indah, Ku Mahu, Balqis, Ya Maulai dan Purnama Merindu.
Beliau mengakui bahawa kredibiliti vokalnya tercabar ketika menyanyikan beberapa lagu balada kegemarannya terutama sekali Purnama Merindu yang telah banyak mengharumkan namanya di peringkat antarabangsa.
"Memang lagu perlahan iaitu lagu-lagu balad menguji ketahanan vokal saya. Bagi memastikan vokal dan stamina saya terjaga, setiap hari saya akan bersenam selama satu jam. Bila saya dapat tahu nak sakit terutama ketika cuaca jerebu baru-baru ini, saya cepat-cepat berjumpa dengan doktor.
"Alhamdulillah semakin nak dekat dengan konsert, perasaan gementar saya semakin berkurangan," katanya yang hanya berpeluang menjalani latihan selama dua hari bersama pemuzik profesional MPO sebelum konsert berlangsung.
Berbanding konsertnya yang lain, kali ini Dato` Siti perlu akur dengan teknik berbeza kerana dia perlu mendapatkan susunan muzik lagu-lagunya terlebih dahulu yang telah dirakamkan untuknya membuat latihan.
Antara pemuzik yang bertindak dalam susunan muzik lagu-lagu pilihannya iaitu Jenny Chin, Ahmad Muriz Che Rose, Khor Chin Yang, Yuzaifullah Mohd Yusof dan Syed Sharir Faisal Syed Hussain.
"Pemuzik-pemuzik ini telah banyak membantu saya kerana susunan perlu dibuat lebih awal dan setelah siap dimasukan dengan muzik orkestra barulah saya berpeluang membuat latihan di dalam CD yang diberikan kepada saya.
"Apabila latihan hanya berpandukan kepada CD yang diberikan, jadi kesempurnaannya tidaklah 100 peratus sempurna dan apabila latihan selama dua hari bersama pemuzik MPO barulah saya boleh nampak kesempurnaannya," jelas Dato' Siti.
Kolaborasi Dato Siti bersama MPO tampak semakin menyerlah ketika menyanyikan medley lagu daripada Tan Sri P Ramlee iaitu Malam Bulan Dipagar Bintang, Tiada Kata Secantik Bahasa dan diikuti lagu Terasing milik Dato' Sudirman Haji Arshad.
JIka mahu dibandingkan dengan lagu-lagunya yang lain, entah mengapa, komposisi muzik yang dizahirkan oleh pemuzik MPO untuk kesemua lagu berkenaan tampak lebih dramatik, lebih-lebih lagi apabila dimasukan dengan vokal dinamik milik Dato Siti.
Malah graf persona nyanyiannya semakin meningkat pada beberapa lagu akhir persembahan berbanding pada set pertama dan di awal set kedua konsertnya malam berkenaan.
sumber : http://www.murai.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment