Demi Mengejar Impian, IZ Tidak Malu Sertai AF 2013

on Monday, July 8, 2013


Bahang Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) kian terasa walaupun masih belum ada tarikh yang sah bila rancangan realiti yang telah memasuki siri yang ke-10 itu akan bermula. Jika sebelum ini ada kisah mengenai dua orang selebriti iaitu Arja Lee dan Fida Ibrahim adalah antara peserta yang terpilih ke pusingan seterusnya, ada seorang lagi bintang realiti yang lebih awal menerima khabar berita ini.

Iz Sulaini yang merupakan bintang kelahiran rancangan realiti One In A Million turut berjaya menempatkan dirinya ke pusingan seterusnya pencarian juara Akademi Fantasia 2013. Menurut Iz ketika dihubungi, keputusannya untuk pergi ke ujibakat AF 2013 itu adalah berlaku secara kebetulan.
Dia yang ketika itu berada di Pulau Pinang atas undangan nyanyian di sana telah menginap di hotel yang sama di mana ujibakat AF 2013 bakal diadakan. Dia juga turut mengambil kesempatan itu untuk menyambut ulangtahun kelahirannya bersama keluarga dan terlanjur berada di sana, Iz telah nekad untuk mencuba nasib walaupun harus mencuba dua kali sebelum melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

"Ketika itu Iz memang berada di Pulau Pinang kerana mendapat undangan nyanyian di sana. Iz memang pergi bersama ahli keluarga untuk bercuti kerana pada waktu yang sama mereka mahu menyambut ulangtahun kelahiran Iz disana pada 8 Jun. Secara kebetulan ujibakat AF 2013 dibuat di hotel tempat Iz menginap.
"Berbekalkan semangat pada harijadi, Iz bertekad ingin mencuba nasib dalam ujibakat tersebut. Tetapi malangnya, seorang daripada juri telah mengatakan Iz tidak mempunyai 'star quality'. Memang sangat kecewa ketika itu kerana ia menjadi pengalaman dan kenangan yang pahit Iz lalui pada harijadi Iz.

"Tetapi Iz buangkan kekecewaan itu dan berazam dalam diri untuk mencubanya sekali lagi pada hari terakhir ujibakat di Pulau Pinang itu. Sebab Iz percaya kalau kita berusaha, pasti akan mendapat habuannya. Syukur bila percubaan kedua, ianya melayakkan Iz ke peringkat seterusnya,"cerita Iz Sulaini yang berjaya mendapat tempat ke AF 2013 melalui ujibakat di Pulau Pinang, 9 Jun lalu.

Dia yang telah mempunyai beberapa single dan album sebelum ini mengakui bahawa ada pihak yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi. Namun begitu, Iz mempunyai alasan yang kukuh dan jawapan sendiri apabila berhadapan dengan persoalan ini.
"Memang orang akan cakap, buat apa Iz masuk lagi AF sedangkan Iz sudah bergelar penyanyi dan mempunyai album. Tetapi Iz belum lagi berjaya sepenuhnya dan masih belum layak digelar bintang seperti penyanyi-penyanyi tersohor negara.

"Sebab itu Iz merasakan AF 2013 antara platform yang baik untuk dicuba bagi membuka jalan menjadi seperti juara-juara AF sebelum ini. Lagipun AF antara program realiti nyanyian yang paling lama bertahan di negara ini.

"Sebelum ini pun ramai penyanyi yang sudah mempunyai nama menyertai program realiti seperti Dayang Nurfaizah, Tomok dan Faizal Tahir. Jadi tiada sebab mengapa Iz tidak boleh mengikuti jejak langkah mereka.
"Pada Iz, jika ingin berjaya dan merealisasikan impian kita tidak perlu malu untuk mencuba. Walaupun gagal pertama kalinya, Iz tidak patah semangat untuk pergi lagi sekali kerana peluang ini bukan selalunya datang,"tambahnya lagi.

Iz yang sebelum ini pernah muncul dengan beberapa single antaranya Cinta Akhir akan menyertai peserta-peserta lain yang layak di 5 lokasi ujibakat di seluruh negara yang berakhir di Shah Alam pada 30 Jun lalu. Walaupun belum ada tarikh yang sah, ura-ura mengatakan bahawa ia akan bermula pada September ini.
sumber :http://www.murai.com.my/ 
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment