KUALA TERENGGANU - Nenek kepada tiga kanak-kanak adik-beradik yang didera oleh ibu kandung serta bapa tiri mereka di sini hujung Jun lalu terkilan kerana wang RM100,000 yang diterima Allahyarham menantu pertamanya akibat kemalangan telah habis dari simpanan.
Ramlah Che Kob, 58, dari Kampung Tanjung Surau Besar di sini mengsyaki wang tersebut telah dihabiskan oleh anak perempuannya, ibu kepada kanak-kanak itu bersama suami keduanya.
Wang itu dikatakan diterima oleh suami pertama anaknya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas sebagai pemandu.
Bercakap kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini, Ramlah tidak pula menyatakan sama ada wang tersebut bayaran dari Perkeso atau insurans.
Beliau hadir melihat tiga cucunya yang dirawat akibat deraan itu.
“Makcik memang sakit hati...(orang) ‘makan’ duit anak-anak yatim dan sanggup mencederakan mereka tanpa belas kasihan,” katanya.
Ramlah berkata beliau tidak sangka anak perempuannya itu sanggup bersubahat dengan suami barunya, mendera tiga beradik itu.
"Sejak anak makcik mendirikan rumah tangga lapan bulan lepas, cuma tiga kali kami berjumpa, dan selepas itu puas makcik mencari mereka tetapi tidak ditemui sehinggalah mendapat tahu kes dera ini,” katanya.
Sementara itu, kanak-kanak malang yang lebih mesra dengan panggilan Haikal berkata dia tidak sabar untuk pulang ke Johor bersama nenek sebelah Allahyarham bapanya.
"Saya hendak ikut nenek balik Kampung di Kota Tinggi dan tidak sabar untuk bersekolah," katanya.
Dalam pada itu nenek tersebut, Hasmah Abdul Rahman, 61, ketika ditemui di hospital berkata dia akan membawa pulang cucunya sebaik selesai menerima rawatan.
Menurutnya mereka telah lama terputus hubungan sejak ibu kanak-kanak ini berpindah ke Kuala Terengganu dan beliau segera datang bila dapat tahu cucunya telah dimasukkan ke hospital.
"Jika boleh mak cik nak ambik ketiga cucu ini balik ke Johor tapi nenek sebelah ibunya minta tinggalkan seorang untuk mereka. Jadi makcik akan bawa pulang Haikal dan adiknya (lelaki) yang berusia lima tahun.
Seorang lagi adik lelakinya berusia tiga tahun akan tinggal bersama ibunya.
"Mak cik akan jaga dia dan berikan pendidikan serta didikan agama yang cukup agar dia dapat melupakan peristiwa hitam ini," katanya.
Sementara itu, Pakar Pediatrik HSNZ, Dr Nor Zubaidah Kadir berkata seorang daripada kanak-kanak itu akan mengalami kecederaan kekal dan sebahagian jari kakinya hilang akibat penderaan itu.
Pihaknya masih memantau perkembangan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu selepas menjalani rawatan 25 Jun lalu.
Beliau berkata kini ketiga beradik ini masih di HSNZ untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka bertambah stabil.
"Ketiga beradik ini boleh berkomunikasi dengan baik namun kami masih memantau keadaan bagi mengelakkan mereka daripada trauma akibat penderaan itu," katanya.
sumber : http://www.sinarharian.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment