Hanez Suraya, Kim Jin-sung dan Ezzaty Abdullah bersatu dalam rangka drama yang sama. Dengan tajuk Autumn Di Hatiku, drama 28 episod ini bakal menceriakan jiwa dan pandangan khalayak yang gemarkan sesuatu yang santai namun memberikan suasana cantik untuk ditonton.
Menyentuh tentang budaya, baik Hanez mahupun Ezzaty, mereka berasa beruntung kerana dapat mempelajari budaya luar. Ia merupakan pengalaman dan pembelajaran baharu buat mereka yang masih hijau dalam lapangan lakonan tempatan.
"Saya sebagai Nina perlu belajar bahasa Korea. Malah, saya juga dapat merasa memakai pakaian tradisional Korea iaitu hanbuk," ujar Hanez.
"Untuk watak Jaja yang obses dengan K-Pop, saya perlu mempelajari cara pemakaian orang Korea untuk sesuai dengan cerita. Jujurnya, saya sukakan lelaki Melayu yang berwajah Korea," ketawanya yang turut membawa seekor ular peliharaan bernama Baby ke sesi penggambaran.
Ironinya, walaupun cerita ini menerima penglibatan daripada seorang pelakon Korea Selatan dan mempamerkan orang tempatan yang gilakan K-Pop, ketiga-tiga pelakon ini mengaku tidak terikut-ikut dengan demam atau fenomena tersebut.
Segala pembelajaran dan kaji selidik hanya dilakukan atas nama pelakon dan karakter yang memerlukan mereka mendalami budaya Korea. Begitu juga dengan JS yang mengaku tidak minat dengan K-Pop dan wanita Korea yang dirasakan tidak mempunyai wajah dengan kecantikan semula jadi berbanding wanita Malaysia.
SAKSIKAN keceriaan dan gelagat Hanez (kanan), JS (tengah) dan Ezzaty dalam drama bersiri Autumn Di Hatiku yang disiarkan di portal Tonton pada setiap hari.
Ketawa Hanez mendengar celoteh JS bersambut dengan pandangannya tentang demam K-Pop. "Jujurnya, saya memang tidak minat dengan K-Pop. Entah kenapa, tetapi saya cuba menonton drama Full House kegilaan ramai untuk rujukan saya dalam drama Autumn Di Hatiku ini. Saya juga belajar bagaimana orang Korea berpakaian dan saya gemar melihat fesyen mereka," katanya.
Pandangan yang sama dilontarkan oleh Ezzaty yang sebelum ini terlibat dengan drama Tanah Kubur dan Epilog Cinta Kirana.
"Saya tidak obses dengan budaya Korea sama ada filem atau lagu-lagu mereka. Walaupun ramai rakan saya meminati K-Pop tetapi, saya tidak terdorong. Namun begitu, saya juga sempat menonton beberapa drama popular Korea seperti My Girl dan My Sassy Girl untuk rujukan," terang Ezzaty.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment