Amy Search Akui Gugup Beri Ucapan Ala YB.

on Thursday, May 2, 2013


Malam kelmarin merupakan detik mendebarkan buat ikon rock terkenal tanah air, Amy Search apabila dia telah diminta berucap buat pertama kalinya di hadapan orang ramai yang menghadiri kempen pilihan raya sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Muar, Johor.

Bukan satu kerja mudah buatnya, tetapi menurut Amy Search, apa yang telah dilakukan malam semalam adalah sebagai perkongsian pendapat sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan sukakan keamanan.

Bercakap kepada portal murai.com.my ketika dihubungi sebentar tadi, Amy Search berkata dia sememangnya tidak menjangka apabila diberi peluang berucap kerana sejak mengikuti kempen pilihan raya, dia selalunya ditugaskan untuk menghiburkan orang ramai dengan lagu dendangannya.

"Memang saya gugup dan gentar kerana selama ini saya hanya menyanyi. Tak pernah pula diminta untuk berucap seperti itu. Tetapi peluang yang ada itu saya gunakan sepenuhnya untuk menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai supaya sayangkan keamanan dan menyokong pemimpin yang dapat memberikan kemajuan kepada negara.

"Inilah tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia dan inilah juga salah satu cara saya memberi balik apa yang telah saya alami selama lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

" Saya sokong 110 peratus kerajaan yang ada sekarang kerana sudah tiba masanya rakyat memilih pihak yang dapat memberikan kemajuan dan keamanan. Ini bukan untuk saya semata-mata tetapi juga untuk generasi akan datang," kata anak jati Johor itu penuh semangat.

Amy Search berkata, meskipun peluang yang diberikannya untuk berucap malam semalam hanya seketika, tetapi dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya peranannya sebagai selebriti untuk bersuara diberikan.

Namun begitu dia tidak pernah terfikir untuk menukar kerjayanya sebagai ahli politik atau memberi lebih banyak ucapan seperti itu selepas ini kerana apa yang diberikan malam semalam adalah secara spontan tanpa dirancang.

Menurut Amy Search, dia telah mengikuti proses berkempen sebelum pembubaran Parlimen pada 3 April lalu dan sejak itu dia bersama-sama beberapa rakan artis lain termasuk Erma Fatima semakin aktif berkempen di beberapa lokasi.

"Ianya merupakan pengalaman yang cukup menyeronokkan kerana saya bukan saja berkesempatan mengedarkan kemeja-T kepada orang ramai, malahan juga dapat mendekati mereka dengan lebih dekat terutama masyarakat di kawasan kampung.

"Bukan sahaja generasi muda, tetapi semangat berkempen yang ada dalam jiwa Mak Cik dan Pak Cik membuatkan saya seronak serta bersemangat untuk lebih rajin turun padang," katanya yang akan kekal dengan lebih banyak aktiviti berkempen sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 pada 5 Mei ini.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment