KASIH IBU DAN BAPA SEKALUNG BUDI ABADI - untuk pedoman. (Artikal & Video).

on Saturday, May 11, 2013



RASULULLAH menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan.

Tetapi kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan anugerah itu engkau yang berikan.”

Berlinangan air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam al-Sunan.

Kasih sayang ayah dan ibu adalah hutang yang tidak pernah dapat dibayar oleh seseorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit setiap pemberian mereka kepada kedua-dua orang tua. Tindakan sebegitu pasti amat melukakan hati kedua-duanya. Tidakkah mereka sedar kehidupan yang dikecapi sekarang bermula daripada setitis air mani ayah dan keredaan seorang ibu menanggung derita dalam kehamilan. Jika dapat dihitung segala jasa mereka, sungguh dunia dan seisi ini takkan mampu membayar balik jasa mereka.

Pada suatu hari, ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”

Bagaimana dengan berjuta nafas yang dihirup oleh seorang ibu demi bayi di dalam rahimnya? Sentuhannya, dakapan dan titisan air susunya? Sanggupkah kita membayar semua itu? Berapakah harga setiap suapan hasil titik peluh ayah? Harga didikan adab dan ilmu yang diajarkan kepada kita sehingga menjadikan kita mulia di mata manusia?.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian tiga perkara dan membenci tiga perkara: Ia mengharamkan derhaka kepada ibumu, membunuh anak perempuan, tidak mahu memberi tapi suka meminta. Ia membenci tiga perkara: Banyak bercakap kosong, banyak bertanya,” Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dr A’id al-Qarni ketika membahaskan mengenai hadis di atas berkata: Perbuatan derhaka kepada ibu dan ayah adalah seperti memutuskan daripada menziarahi kedua-duanya, tidak memberikan nafkah kepada mereka sedangkan mereka berhak mendapat nafkah, menyakiti hati mereka dan tidak memenuhi hak mereka.

Tiada siapa yang mahu dikatakan dirinya anak derhaka. Tetapi tindakan dan sikap yang ditunjukkan oleh seseorang anak itu adalah gambaran zahir yang tidak dapat disembunyikan. Pandangan manusia boleh menilai walaupun sifatnya subjektif. Apatah lagi pandangan Allah, siapakah yang boleh menyembunyikan aibnya? Penderhakaan itu akan membekas di hati ibu bapa dan akan dibawa sampai ke mati. Tentunya kita tidak sanggup melihat keadaan ini.

Ada yang berpendapat bahawa semua itu adalah akibat salah ibu bapa mendidik. Tetapi bukankah manusia bertambah dewasa dan tahu memilih yang benar dan salah? Untuk apa akal dan hati yang Allah cipta dan kurniakan jika bukan untuk memujuk ego supaya tunduk pada ajaran yang hak?

Ada pula yang berani berkata: “Atas sebab ibu bapa derhaka kepada anak, maka anak pun membalas!” Hati jenis apakah yang sanggup membalas kekhilafan ibu bapanya dengan kejahatan dan dendam?

Maknanya jika ibu menampar wajah anak, anak pula berhak membalas tamparan itu ke wajah ibunya?.

Kalau memang ibu bapa itu jahat, apakah mereka akan membiarkan diri kita hidup dari dulu lagi. Mereka boleh melepaskan tanggungjawab jika mahu. Mengapa disebabkan kesalahan yang sedikit, maka kebaikan yang terlalu banyak dilupakan?

Ibu bapa kita adalah sumber kekuatan diri kita. Iman tidak sempurna jika kita mencalarkan kebeningan hati mereka. Di tengah kesibukan dunia yang menenggelamkan hati dan perasaan anak, ada satu masa anak pasti berasa terseksa iaitu apabila dia mengingat kembali pelukan dan ciuman kasih ayah ibunya tetapi tiada peluang baginya untuk memohon ampun kepada kedua-duanya.

Kembalilah kepada mereka dengan hati yang ikhlas, sebelum segala berakhir dengan kesedihan dan penyesalan sepanjang hayat. “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah sebagai ingatan bahawa kebahagiaan anak itu bermula daripada hati ibu bapa yang reda.

INTIPATI
Tanggungjawab anak

Anak perlu menjaga hati ibu dan ayah yang banyak berkorban membesarkan mereka.

Allah menjadikan manusia dengan tanggungjawab. Ketua keluarga mendidik zuriat untuk kesejahteraan di dunia dan akirat. Anak pula perlu kepada arahan orang tuanya yang tidak bercanggah dengan hukum Allah.

Jagalah kehidupan orang tua sendiri selagi hayat di kandung badan. Jasa mereka adalah hutang anak sepanjang hayat.

Sikap derhaka amat keji dan boleh merosakkan jiwa. Anak perlu matang bertindak terutama berkaitan hubungan dengan ayah dan ibu.

....... bayangkan apabila nyawa kita dicabut tetapi kita tidak sempat memohon ampun kepada kedua ibu bapa kita?.

Setelah membacanya jom kita layan video lagu Opick diibawah ini........

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment