gambar hiasan |
Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-
Melalui Jampi, Mentera dan Serapah.
Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-
Amalan Batin.
" Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Serapah lekat Tulang.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Serapah menepung Tawar
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Mentera Menepung Tawar.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dgn berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.
Melalui Perbuatan / Kelakuan.
Kesesatan Tok Bomoh.
Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut.
Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.
Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri.
Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita.
Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w.
KESESATAN YANG DILAKUKAN PADA ORANG YANG BERUBAT
(i) Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.
Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah. Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.
Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik.
Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.
Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin penunggu Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guru-guru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.
Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.
(ii) Pengeras / Upah.
Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang. Ada juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.
Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.
Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-Quran , Selawat-selawat Nabi dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas.
(iii) Pemutus Ubat.
Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok Bomoh, antaranya seperti :-
- Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.
- Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu
- Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali
- Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.
Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment