JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis dihukum penjara 30 bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah menerima suapan RM4,900 daripada seorang ahli perniagaan hampir lima tahun lalu.
Hakim Madihah Hairullah turut memerintahkan Lans Koperal Muhammad Raffi Sarin, 45, dipenjara tujuh bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.Muhammad Raffi yang sebelum ini bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian didakwa menerima wang suapan tersebut di alamat nombor 516, Jalan Kukup, Pontian di sini kira-kira pukul 5 petang, 1 April 2007
Wang suapan itu didakwa diterima sebagai dorongan untuk tidak menangkap seorang ahli perniagaan, Hang Chiek Siong atas kesalahan memiliki pil ekstasi.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan tertuduh bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abdul Malik manakala Muhammad Raffi diwakili peguam Rosli Kamarudin.
sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment