MELAKA – Seorang lelaki yang memiliki dua rekod kesalahan berkaitan dadah kini diburu kerana melarikan sebuah kereta peronda polis di pekarangan Balai Polis Trafik Alor Gajah di sini semalam.
Suspek yang berusia 35 tahun melarikan kereta peronda jenis Proton Iswara pada pukul 10 malam selepas menyedari dia dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes dadah pada 2004.Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, suspek sebelum itu datang ke balai polis bersama isterinya untuk membuat laporan selepas terlibat dalam satu kemalangan Selasa lalu.
“Bagaimanapun, dia ternampak status dirinya dikehendaki polis atas dua kes kes dadah di Pengkalan Chepa, Kelantan dan Tanjung Minyak di sini ketika anggota polis memusingkan skrin komputer untuk mengambil keterangan kemalangan.
“Akibat panik, suspek segera melarikan diri bersama isterinya. Namun, dia berjaya ditangkap oleh anggota polis di pekarangan balai itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.
Bagaimanapun, kata Ghee Lye, suspek ketika itu tidak dapat digari kerana tangan kanannya bersimen disebabkan patah selepas terlibat dalam kemalangan.
Suspek yang kemudian dimasukkan ke tempat duduk belakang sebuah kereta peronda yang telah dihidupkan enjin kemudian bertindak pantas ke bahagian pemandu dan melarikan kereta tersebut.
Kata Ghee Lye, beberapa anggota polis trafik telah mengejar kereta peronda itu sejauh lima kilometer namun suspek berjaya meloloskan diri.
Katanya, polis bagaimanapun berjaya menemui kereta peronda yang dilarikan suspek di tepi jalan Kampung Panchor, Alor Gajah pukul 2.15 pagi ini.
“Polis kini melancarkan gerakan besar-besaran di sekitar Alor Gajah namun sehingga kini gagal menemui suspek dan percaya suspek yang bertubuh kurus akan mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerana kecederaan yang dialami,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi IPK Melaka di talian 06-2854222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5564153.
* Sekadar Gambar Hiasan
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment