BH rangkul 4 anugerah FINAS

on Sunday, July 7, 2013

(Dari kiri) Zainuri; Mamat Khalid; Pengarang Bersekutu BH, Hanizam Abdullah dan Akmal bersama anugerah yang dimenangi pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Kuala Lumpur: Akhbar BH memenangi empat anugerah Hadiah Galakan Penulisan Industri Perfileman Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), yang berlangsung malam tadi.

Pengarah prolifik, Mamat Khalid memenangi tempat pertama menerusi artikel tulisannya di BH, ‘Promosi, Pembohongan dan Matlamat Dunia Perfileman’.
Kemenangan itu melayakkan BH memenangi piala Pusingan Trofi Samad Idris dan pemenang membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 serta sijil penghargaan. Pengarang Berita Edisi Mingguan, Zainuri Misfar dan Pengarang Bintang Popular BH Ahad, Akmal Abdullah, masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga penulisan berita hiburan bermutu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Zainuri menulis ‘Kenapa Takut Sangat Filem, Cerita Seram?’ manakala Akmal membangkitkan isu ‘Filem Banyak Pawagam Terhad’. Turut menerima anugerah ialah akhbar The Star dan Mstar masing-masing dimenangi oleh Grace Chen dan Niezam Abdullah bagi kategori bahasa Inggeris.

Selain Anugerah Trofi Samad Idris, Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa pula menyaksikan 12 penerima sama ada individu mahupun syarikat. Aktor Shaheizy Sam, pengarah U-Wei Haji Saari, Wee Meng Chee (Namawee) antara penerima yang diumumkan.

Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) diberikan kepada 10 syarikat produksi iaitu Metrowealth Pictures Sdn Bhd, Primeworks Studios Sdn Bhd, Genius Parade Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd, PTV Film Production Sdn Bhd, Adik Manja Sdn Bhd. Axis Line Ent Sdn Bhd, Astro Shaw Sdn Bhd, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Megamovie Sdn Bhd.

Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Kamarudin Siaraf. Hadir sama, Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Sha.
sumber : http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment