Takdir yang memisahkan mereka tidak pernah dibiar menguasai diri sebaliknya dia tahu ada hikmah di sebalik semua itu. Bagi Haida kemunculan semula di dalam industri ini bukan sekadar mencari populariti. Jauh sekali mahu bersaing dengan nama-nama besar sedia ada tetapi dia mahu 'menjual' bakat yang ada.
Pernah popular dengan lagu Dikir Rambong dan Zapin Usik Mengusik satu ketika dahulu, Haida bangkit melawan kesepian yang ditinggalkan. Biarpun isu penceraian begitu perit untuk diceritakan semua itu disimpan sebagai sejarah yang tak mungkin dilupakan sampai bila-bila.
"Tidak mungkin saya gembira dengan perpisahan tersebut. Tiga tahun secara rasminya saya bercerai dan itu bukan penamat kepada segala-galanya. Pernah satu ketika saya meratapi apa yang telah terjadi.
"Sebagai manusia saya tahu ini pelajaran berguna buat saya. Tidak mudah untuk menghadapi situasi berkenaan tetapi akhirnya saya boleh tersenyum sebab segala-galanya dapat saya lalui dengan baik. Tak ada lagi kesengsaraan sebaliknya saya tahu ini yang terbaik.
"Tipu kalau saya kata tidak pernah rasa sedih dengan perkara itu. Ini adalah proses kehidupan yang kita kena lalui. Saya pernah bertanya kenapa perkara ini terjadi tetapi saya yakin pada akhirnya sesiapa juga akan temui jawapan yang mereka cari," jelas Haida satu persatu.
Akui wanita yang berusia 31 tahun ini lagi dia tidak pernah menjeruk rasa dengan penceraian. Tidak ada istilah trauma seperti kebanyakan wanita lain yang menghadapi situasi ini sebaliknya dia optimis untuk meneruskan hidup seperti biasa.
Untuk mengubat keresahan hatinya dia mahu kembali ke dalam industri. Segala kesedihan sudah dibuang jauh-jauh agar tidak melemahkan semangat barunya untuk menerobos angkasa raya.
PengorbananTidak putus semangat untuk terus menyanyi, Haida tampil dengan single Lima Tahun Saja yang sedang diputarkan di corong-corong radio sejak sebulan lalu. Lagu ciptaan Panji itu mengisahkan tentang cinta bersama lelaki yang lebih muda lima tahun daripadanya.
Bagi Haida dia sebenarnya tidak ada masalah untuk menyanyi memandangkan dalam tempoh menyepikan diri berbelas tahun itu dia masih lagi memenuhi undangan nyanyian terutama daripada pihak korporat.
Jelasnya, sudah pasti dia banyak belajar terutama aspek vokal sebagai persediaan untuk muncul semula agar tidak dipandang rendah oleh orang lain.
"Nak buat kemunculan semula itu bukan mudah sebab memerlukan pengorbanan yang besar. Mujurlah saya ada kawan-kawan yang banyak membantu dan memberi inspirasi agar dapat kembali macam dulu.
"Saya tak mahu tampil 'cincai'. Dari aspek lagu sampailah penampilan, semuanya saya sudah fikirkan sebelum ini. Alhamdulillah lagu Lima Tahun Saja pun nampaknya memberikan tuah apabila ia mudah diterima oleh peminat.
"Kisahnya ringkas mengenai cinta. Tidak ada kena mengena dengan diri saya pun lagu ini tetapi memang idea itu saya beri kepada Panji untuk buat lagu macam ini. Ada juga yang bertanya sama ada saya sedang bercinta dengan lelaki muda atau tidak.
"Ini sekadar lagu dan bukan kisah sesiapa pun. Tapi tak dinafikan yang memang ada orang muda yang lebih berani tampil ke hadapan. Pernah juga saya mengalami situasi digoda golongan itu baru-baru ini. Apa yang pasti mereka memang berani dan mengejutkan saya," katanya tertawa.
Bagi Haida dia kini lebih fokus memberikan tumpuan kepada kemunculan semula berbanding dengan kisah peribadi. Soal perkahwinan misalnya ditolak ke tepi dahulu agar apa yang dirancang menjadi kenyataan.
Menafikan hatinya sudah dimiliki buat masa ini akui ibu kepada Muhammad Al Hafiz Aminuddin, 8, masih belum mampu menentukan ke mana hala tuju status dirinya.
"Saya tidak pernah menetapkan syarat bila akan berkahwin semula. Saya yakin jodoh dan pertemuan itu sudah tertulis dan sebagai manusia saya kena reda dengan semuanya. Sama ada cepat atau lambat itu sahaja," ujarnya.
sumber : http://www.utusan.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment