Isu Digam Media Prima: “Saya Okay Jer”

on Friday, July 5, 2013

Faizal Tahir

Penyanyi dan penulis lagu Faizal Tahir enggan mengulas lanjut mengenai isu dirinya digam oleh stesen televisyen milik Media Prima kerana tidak mahu perkara itu terus diperbesar-besarkan. Malah pelantun Sampai Syurga itu tidak mahu terlalu memikirkan hal tersebut.
Bertemu Faizal pada majlis Azam Raya Bersama Watson dan Faizal Tahir, kata penyanyi berusia 35 tahun ini, beliau sepatutnya merakamkan sebuah program khas terbitan salah sebuah stesen di bawah syarikat penyiaran berkenaan sempena Aidilfitri namun rakaman itu dibatalkan.
Faizal juga memberitahu, beliau tidak menerima sebarang penjelasan rasmi dari pihak Media Prima meskipun media baru-baru ini melaporkan pihak stesen terbabit telah menafikan dakwaan dirinya telah disenaraikan hitam.
“Sepatutnya saya ada sebuah program raya tahun ini untuk stesen TV berkenaan. Tapi tiba-tiba rakaman program tersebut dibatalkan. Jadi, fikirlah sendiri.
“Saya tak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Tak mengapa lah kalau program tu dibatalkan. Saya anggap tiada rezeki. Saya tidak tahu mengenai penafian pihak stesen TV tersebut. Tapi kalau benar mereka nafikan yang saya digam, sehingga kini saya tidak mendapat sebarang panggilan rasmi atau dipanggil berbincang bagi menjelaskan status saya.
“Tapi saya okay jer. Selagi isteri dan anak-anak saya cukup makan dan pakai, cukuplah”, katanya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui, semalam.
Faizal sebelum ini dikatakan diberitahu secara lisan mengenai dirinya digam. ‘Hukuman’ itu gara-gara kerana kelantangannya bersuara tentang isu politik negara, baru-baru ini. Bagaiamanapun, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar menyatakan Faizal tidak digam dan penyanyi itu masih lagi artis naungan Monkey Bone.
Bukan pertama kali dihimpit kontroversi, begitu pun Faizal tetap dengan pendiriannya dengan tidak membataskan kehendaknya untuk menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan terhadap sesuatu perkara. Kata Faizal, terpulang pada persepsi orang lain untuk menilai apa yang cuba disuarakannya.
“Saya tak takut dengan orang. Saya tak nak hanya kerana hal remeh ini saya harus terlalu berhati-hati selepas ini. Ya betul, berhati-hati tu perlu untuk memastikan orang tak salah erti apa yang saya suarakan. Tapi saya tak mampu nak jaga hati semua orang. Bukan mudah menjadi public figure sebenarnya, setiap apa yang dilakukan menjadi perhatian ramai pihak namun saya bersikap profesional.
“Saya rasa saya bukan seorang yang lantang. Saya tidak mahu menjadi lalang, saya hanya bersikap jujur. Saya cuma bercakap tentang perkara yang betul, yang real“, tegasnya.
Perkembangan lain, Faizal yang telah melancarkan album ketiganya, Faizal Tahir, kira-kira empat bulan lalu, kini sedang sibuk mengumpulkan material bagi album baru. Dalam masa sama beliau juga sedang menyiapkan projek album khas.
Berita baik untuk peminat, selepas Aidilfitri nanti Faizal akan menyambung kembali showcase jelajahnya di Hard Rock Cafe KL dan sebuah lokasi di pantai timur. Selain Faizal juga sedang merancang mengadakan konsert mega sulung dan mahu direalisasikan pada hujung tahun ini. – Malaysian Digest

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment