Seorang jutawan yang tersenarai selaku  antara orang paling kaya di Britain baru-baru ini membuat pengakuan  mengejut yang menyatakan dia tidak tahu membaca.
Andreas Panayiotou, 45, tidak boleh mengisi  sendiri borang pasport paling mudah. Dia juga terpaksa memberi tumpuan  untuk mentafsirkan tanda jalan apabila memandu.
Bapa lima anak itu yang mempunyai kekayaan  mencecah £400 juta (RM2 bilion) dan menduduki tangga ke-200 orang paling  kaya di Britain mengaku: “Ketika kanak-kanak, saya berusaha sedaya  upaya untuk membaca.
“Tetapi otak saya tidak dapat mentafsirkan huruf yang membentuk perkataan itu.”
Selepas meninggalkan sekolah pada usia 14  tahun tanpa sijil, dia belajar mengatasi masalah disleksia yang  dihadapinya itu dengan menghafal bentuk perkataan penting.
Bekas peninju itu yang dilahirkan di London  dari keluarga keturunan Greek Cyprot bagaimanapun berkata: “Saya  menghadapi masalah besar apabila menemui perkataan yang saya tidak  pernah jumpa.
“Di jalan raya, saya terpaksa menumpukan  perhatian sepenuhnya untuk membaca tanda jalan. Ia sentiasa merisaukan  saya. Mengisi borang seperti kawalan kastam juga menjadi masalah.”
Meskipun buta huruf, Panayiotou kini  memiliki tiga pesawat, satu daripadanya jet Gulfstream berharga £40 juta  (RM200 juta), dan sebuah kapal layar berharga £12 juta (RM60 juta). Dia  tinggal di rumah di Epping Forest, Essex, yang kawasan tanahnya seluas  20 ekar.
Panayiotou yang menyuarakan hasrat untuk  membantu mereka yang mengalami disleksia sepertinya berkata: “Ketika  kanak-kanak, saya tidak suka membaca. Apabila dewasa, saya mengatur  kehidupan seharian saya supaya dapat mengelak daripada membaca.”



 
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment