Kontroversi Afiq, Ibu: Masalah Selesai

on Tuesday, July 2, 2013



Pelakon kontroversi, Afiq Muiz mengakui serik dan enggan lagi berkongsi kisah peribadi bersama media.
Justeru, tatkala dihubungi, semalam, bagi mengetahui perkembangan terkini hubungan dengan ibu kandungnya, Hasliza Mohamad, jejaka ini memilih untuk berdiam diri.

Ditanya apakah dia akan mengambil langkah menjernihkan kembali hubungan dengan si ibu sempena Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Afiq bungkam. Hanya setelah dua kali soalan sama diajukan dan beberapa minit mengunci mulut, barangkali cuba mengumpul kekuatan, anak muda ini akhirnya bersuara dengan nada seolah-olah tidak bermaya.

Saya tidak mahu komen apa-apa. Hubungan kami sudah OK, jawab pelakon drama bersiri Bangkitnya Seorang Wanita ini ringkas. Diminta penjelasan adakah dia bersemuka dengan Hasliza atau sekadar memohon maaf menerusi panggilan telefon, Afiq enggan mengulas panjang.

Saya rasa media tidak perlu tahu kerana ia membabitkan soal peribadi. Saya tidak mahu berkongsi apa-apa lagi dengan media. Cukuplah dengan apa yang sudah berlaku sebelum ini.
Tidak guna saya beriya-iya menegakkan kebenaran, kelak diri saya juga yang dipersalahkan. Lagi pun, kenyataan saya selama ini sering ditokok tambah dan seterusnya saya yang menjadi bahan fitnah. Jadi lebih baik saya tidak memberikan komen panjang lebar, kata Afiq.

Bukan saja enggan berbicara mengenai kekeruhan hubungan dengan si ibu, Afiq juga tidak mahu mengulas lanjut perihal dirinya dengan pelakon, Eina Azman.Biarpun ibunya mendakwa Afiq dan pelakon berusia 18 tahun itu mempunyai hubungan istimewa, Afiq bermati-matian menafikannya. Sebaliknya dia berkata, Eina dan dirinya hanya bersahabat baik.

Sekalipun cuba menyorokkan perkara itu, baru-baru ini ada mata yang kononnya melihat pasangan ini berjalan berpimpin tangan dengan lagak penuh mesra di sebuah restoran di Bangsar.Begitupun Afiq sekali lagi menyangkal tuduhan itu.
Bila masa pula kami berpegangan tangan? Saya rasa tidak perlulah saya komen hal ini, tolong jangan menambah fitnah ke atas diri saya, katanya.

Sementara itu, menyentuh soal kerjaya, kontroversi membabitkan dirinya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai pelakon. Alhamdulillah, rezeki masih ada walaupun dengan apa yang berlaku selama ini. Saya percaya rezeki di tangan Allah dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Saya kini sibuk menjalani penggambaran drama Ratu Syuhada untuk RTM, katanya.

Pelakon berusia 21 tahun ini mula menjadi buruan media dan perhatian masyarakat apabila Hasliza membuat pendedahan kepada sebuah portal mengenai sikap Afiq yang kononnya sudah melupakan keluarga setelah menjalin hubungan dengan pelakon wanita, Mei lalu.

Hasliza yang terlalu kecewa dengan sikap anaknya, yang disifatkan sudah lupa diri, turut menggelarkan Afiq sebagai anak derhaka. Malah dia mendedahkan Afiq berubah menjadi panas baran, bersikap kurang ajar serta hilang perasaan sayang kepada keluarga setelah mengecap populariti.

sumber : http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment