Fasha Sandha, walaupun telah mula turun ke lokasi penggambaran selepas 50 hari melahirkan anak sulungnya, Putra Rayfal namun, Fasha Sandha mengakui dia masih menjalani cara berpantang bersalin seperti biasa.
Menurut Fasha Sandha, dia masih mahu meneruskan niatnya untuk berpantang sehingga 100 hari biarpun terpaksa memulakan penggambaran drama bersiri Tentang Hati terbitan Global Station Sdn Bhd.
"Lepas bersalin saya akui ini job pertama saya. Sebenarnya saya terima tawaran ini kerana mereka telahmenawarkan saya untuk membintangi drama bersiri terlebih dahulu iaitu sejak 3 bulan sebelum saya melahirkan Rayfal lagi. Mereka telah cuba dapatkan saya.
"Malah saya sukakan jalan cerita dan watak saya yang kali ini lebih berat selain sudah biasa bekerjasama dengan produksi dan pengarahnya, Feroz Kadir. Memang saya pernah kata mahu berpantang 100 hari dan sehingga kini saya akui masih meneruskannya tetapi saya tidak kata saya mahu berpantang daripada bekerja atau berlakon.
"Bahkan selepas 40 hari berpantang saya juga sudah keluar ke saloon milik saya, Chinta untuk menguruskan apa yang patut," katanya kepada sebuah portal hiburan tanahair.
Fasha Sandha ditemui dilokasi penggambaran drama Tentang Hati yang terletak di Hulu Langat Selangor. Drama itu turut dibintangi pelakon lain seperti Aaron Aziz, Rusdi Ramli, Anzalna dan ramai lagi.
Tambah Fasha lagi, dia perlu kembali aktif bekerja dan melakukan aktiviti yang sihat kerana mahu mengembalikan bentuk badan yang ideal setelah berat badannya naik sehingga 15 kilogram selepas bersalin.
"Terus-terang saya perlu banyak melakukan aktiviti di luar dan kembali aktif berlakon untuk kembalikan bentuk badan ideal dan nampak fit. Selain bergerak aktif saya juga perlu menjaga makan dengan mengambil pemakanan yang berkhasiat, bukan sahaja untuk saya tetapi untuk anak saya yang masih menyusu.
"Namun bersyukur, berat badan saya kini sudah susut 13 kilogram daripada 15 kilogram selepas bersalin," kongsinya lagi.
Berkongsi pengalaman setelah menjadi seorang ibu sejak melahirkan putera sulungnya pada 15 April lalu, Fasha memuji anaknya itu kerana tidak punya banyak ragam seperti kebiasaan bayi lain.
"Rayfal seorang bayi yang baik dan sihat. Dia tidak banyak meragam seperti bayi lain. Malah waktu tidur dia juga normal iaitu mula tidur pada jam 12 malam dan berjaga pada waktu Subuh tanpa ada terjaga di dipertengahan waktu tidurnya," luahnya lagi.
kredit to KEZOOM
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment