Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, setakat ini isterinya tidak pernah menunjukkan rasa kurang senang dengan mana-mana watak romantik yang dibawakannya bagi menjayakan sesebuah karya.
"Alhamdulillah, setakat ini isteri saya tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi cemburu dan saya rasa dia sudah biasa dan lali dengan watak-watak romantik saya dalam mana-mana drama atau filem.
"Dia faham itu hanyalah tanggungjawab saya sebagai pelakon dan kerjaya ini bukan baru tetapi sudah hampir 11 tahun saya menceburinya. Dia sangat faham," katanya.
Menurut Adi Putra lagi, Aida tidak pernah meletakkan had-had dan batasan tertentu untuk dia berlakon dengan mana-mana wanita.
"Dia jarang masuk campur hal kerja saya dan tidak pernah beri sebarang limit untuk saya berlakon dengan perempuan.
"Saya sebagai suami yang sepatutnya tahu menjaga batasan dan kita juga ada Lembaga Penapisan Filem yang sentiasa menilai tahap sesebuah lakonan itu," katanya.
Tambah Adi Putra, dia perlu bijak membahagikan masa kerja dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak angkatnya Zara Adelia yang kini berusia sembilan bulan.
"Saya sentiasa menyusun jadual untuk sentiasa berada bersama keluarga jika tiada penggambaran. Kalau tiada apa-apa kerja saya lebih suka duduk sahaja di rumah," katanya.
sumber : http://kezoom.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment