Gambar hiasan |
Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri muda sanggup menempah maut dengan membuat aksi ‘Wheelie’ di depan Dataran Merdeka hanya semata-mata dicabar rakan mereka, malam kelmarin.
Difahamkan, pasangan suami isteri yang baru berkahwin setahun lalu itu tidak memikirkan risiko yang bakal ditanggung sebaliknya menunjukkan kemahiran ‘bodoh’ mereka menunggang motosikal Yamaha 125, kira-kira jam 7 malam.
Sumber polis berkata, si isteri yang berusia 19 tahun juga didapati tanpa berasa takut membantu suaminya berusia awal 20-an mengimbangi badannya sepanjang melakukan aksi berbahaya itu di Jalan Raja Laut.
Menurutnya, perbuatan pasangan terbabit dikesan anggota Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) yang ketika itu sedang melakukan Ops Samseng Jalanraya di sekitar ibu kota.
“Ketika itu, pasangan berkenaan berada di lampu isyarat Jalan Raja Laut sebelum membuat aksi ‘Wheelie’ sebaik lampu bertukar hijau sejauh beberapa meter.
“Pasangan itu kemudian memecut laju ke Jalan Sultan Ismail dan akhirnya dicekup di Jalan Ampang ketika memberhentikan motosikalnya,” katanya.
Katanya, soal siasat mendapati mereka adalah pasangan suami isteri dan melakukan aksi berkenaan akibat dicabar rakan.
“Pasangan berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. Si suami ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.
“Isterinya pula dibebaskan dengan dijamin anggota keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment