Pihak polis mengenal pasti punca kebakaran sebuah rumah di Taman Kota Jaya di Kota Tinggi semalam yang turut mengakibatkan tiga kematian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Mohd Nor Rasid berkata kebakaran dipercayai berpunca dari simbahan minyak petrol di rumah itu yang dikatakan dilakukan seorang mangsa yang turut terkorban dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.
"Kejadian berlaku apabila mangsa yang berumur 30-an itu datang ke rumah tersebut untuk mencari isterinya. Memandangkan isterinya tiada di situ, mangsa telah mengamuk dan bertindak menyiram minyak yang dibawanya yang dipercayai petrol ke seluruh bahagian rumah tersebut," katanya hari ini.
Beliau berkata mangsa turut terkorban kerana badannya turut disambar api.
Yang turut terkorban ialah Ezza Nurfarhaine Othman, 24, yang merupakan orang kelainan upaya dan Maliki Hanie Aziz, 3.
Sementara yang cedera ialah Nor Ezzadatul Fazlin Othman, 33, dan Nor Syafiqa Abu Sari, 18.
Mohd Nor berkata Nor Ezzadatul Fazlin yang sedang mengandung dilaporkan berada dalam keadaan koma dan dirawat bersama Nor Syafiqa di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu.
Seorang ahli keluarga mangsa, Hashim Rajab, 51, berkata beliau sedang mengecat rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa, ketika kejadian itu.
Beliau yang hanya berseluar pendek terus berlari ke rumah yang terbakar itu sebaik dimaklumkan jirannya, namun beliau tidak dapat membantu menyelamat mangsa kerana keadaan api yang marak.
"Tidak sangka anak dan cucu saudara saya meninggal dunia dalam keadaan begitu, lebih-lebih lagi di saat umat Islam hendak menyambut hari raya," katanya.
sumber : http://www.malaysiakini.com/bm
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment