Berkesempatan bertemu artis cantik kelahiran Indonesia, Nikita Willy baru-baru ini, timbul rasa kagum terhadap dirinya yang kelihatan semakin cantik.Menariknya, kehadiran Nikita ke Malaysia kali ini bagi melancarkan album sulungnya, Lebih Dari Indah tidak keseorangan kerana dia turut ditemani ibunya iaitu Yora Febriana.
Menurut Nikita, dia sangat bersyukur kerana sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, peminat sentiasa memberikan respons yang positif dan kebanyakan sinetron yang dilakonkannya mendapat sambutan baik.
Ujarnya, dia terpaksa membayar harga yang cukup tinggi, terutamanya melepaskan usia remajanya memandangkan jadual penggambarannya yang cukup padat setiap hari.
"Kalau kebanyakan remaja dapat menghabiskan masa dengan rakan-rakan untuk bersosial, saya pula melalui kehidupan yang agak berbeza kerana setiap hari perlu berada di lokasi penggambaran dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
"Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa orang teman rapat yang memahami kerjaya saya ini. Biasanya kami akan pergi bersarapan bersama atau mereka akan berjumpa saya di lokasi penggambaran," jelasnya yang kini sibuk menjalani penggambaran sinetron Surat Kecil Untuk Tuhan.
Memandangkan kebanyakan sinetron yang dilakonkan Nikita kerap menampilkan dirinya membawakan watak-watak seorang gadis yang baik, dia turut ditanya sama ada pernah mendapat tawaran untuk membawakan watak antagonis.
NIKITA mesra di sampingnya ibunya, Yora.
Jelas pemilik nama sebenar Nikita Purnama Willy itu dia memang teringin untuk cuba membawakan watak yang berbeza, namun watak protagonis seolah-olah sudah sebati dengan dirinya.
"Secara jujurnya saya memang mempunyai keinginan untuk menjadi seorang antagonis dalam sesebuah sinetron, tetapi saya risau sekiranya peminat tidak suka dengan watak yang saya bawakan itu nanti," ujarnya.
Dikenali ramai sebagai seorang pelakon sinetron yang cukup popular, Nikita juga turut berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berusia 16 tahun dan telah menghasilkan album pertamanya iaitu Lebih Dari Indah.
Ujar Nikita, albumnya itu terpaksa dihasilkan selama dua tahun memandangkan jadual lakonannya yang padat dan telah dilancarkan di Indonesia pada tahun lalu.
"Mengenai album Lebih Dari Indah ini ia mengandungi sebanyak 11 buah lagu. Menariknya, tujuh buah daripadanya merupakan lagu-lagu tema untuk sesebuah sinetron.
"Selepas album saya ini dilancarkan di Indonesia, baru sekarang saya berkesempatan untuk melancarkannya di Malaysia. Selain pelancaran saya turut terlibat dalam rangka promosi di radio dan televisyen," jelasnya.
Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Akibat Pernikahan Dini, Maafkan, Ku Tetap Menanti, Pantas Untukku, Lebih Dari Indah, Bohong, Luka, Cinta Putihmu, Tafakur, Pantas Untukku dan Nonton Bioskop.
sumber :http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment