Kejayaannya sebagai Johan Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa pada tahun 2009, memberi ruang kepada Sharifah Khasif untuk mula berjinak-jinak sebagai personaliti TV. Selain aktif sebagai qariah, Sharifah Khasif turut mengacarakan beberapa rancangan agama seperti Qari Junior dan Tadbir Ringgit.
Terbaru, Sharifah Khasif telah muncul dengan album yang mengetengahkan alunan qasidah burdah iaitu irama yang diselitkan lenggok Arab yang mengasyikkan. Kata Sharifah Khasif, album ini diterbitkan atas dasar minatnya yang mendalam terhadap keindahan seni qasidah burdah dan lagu-lagu arab.
“Qasidah burdah ini bukanlah irama baru. Ia sudah lama bertapak di Malaysia, namun masih ramai yang tidak tahu mengenainya. Saya percaya qasidah burdah juga merupakan satu cabang seni yang boleh diketengahkan di dalam industri seni tanah air,” kata Sharifah Khasif ketika majlis pelancaran album Al Husna di Petaling Jaya, baru-baru ini.
“Saya pasti ada sesetengah orang yang ingin bertaranum tapi tidak tahu caranya. Ada juga yang ingin mengaji Al-Quran, tapi berat hatinya. Jadi dengan terbitnya album ini, saya harap masyarakat dapat mencuba pendekatan qasidah burdah,” katanya.Belum merancang untuk menghasilkan album yang mengandungi lagu-lagu komersial, kata Sharifah Khasif, dia enggan digelar penyanyi dan mahu terus dikenali sebagai qariah.
“Menyanyi dan mengaji Al-Quran berjalan seiring dalam hidup saya. Namun, yang menjadi fokus saya adalah mengaji Al-Quran dan mendendangkan lagu-lagu yang memuji Nabi Muhammad SAW. Saya tak mahu dengan terbitnya album ini, orang mula menggelarkan saya seorang penyanyi,” jelas Sharifah Khasif menerangkan dia meminati lagu-lagu Hindi dan mendiang Whitney Houston.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment