Pemilik nama Judika bakal memantapkan lagi kerjayanya dalam bidang nyanyian baik di Indonesia mahupun Malaysia apabila akan tampil dengan album ketiga berjudul ‘Judika Mencari Cinta’. Lagu-lagu nyanyiannya seperti 'Aku Yang Tersakiti', 'Tapi Bukan Aku' dan 'Separuh Mati Merindu' kerap kali diputarkan di corong-corong radio atas permintaan para peminat.
Menyentuh mengenai karier seninya, Judika memberitahu selain sibuk dengan urusan sebagai penyanyi solo, Judika juga turut menjadi vokalis untuk kumpulan Mahadewa. Kepadatan jadualnya juga membuatkan hari-harinya dipenuhi dengan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penyanyi.
“Setiap hari saya menyanyi dan kadang kala menyebabkan saya kehilangan suara seperti ini. Namun saya begitu sekali menyenangi keadaan ini kerana menjadi penyanyi merupakan kerjaya yang diidamkan oleh saya selama ini,” kata Judika ketika ditemui di majlis rakaman Judika & Friends di Kelab Neverland, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bercerita mengenai persiapan perkahwinannya yang semakin hampir, Judika merasakan debaran semakin terasa. Namun kegembiraan jelas terpancar di wajahnya kerana perjuangan cintanya yang lebih 6 tahun tidak direstui akhirnya berjaya membawa hubungan mereka ke gerbang perkahwinan.
“Lagu Mama Papa Larang merupakan lagu yang menceritakan mengenai hubungan kami yang mendapat tentangan dari kedua ibubapa kekasih saya. Pelbagai faktor menyebabkan mereka tidak merestui percintaan kami namun akhirnya mereka melihat ketulusan hati saya dan memberikan restu kepada kami,” katanya.
Menariknya, Judika dan kekasih hatinya, Duma Risis Silalahi bakal mendendangkan lagu duet mereka iaitu karya Judika sendiri berjudul, ‘Sampai Akhir’. Pernikahan Judika yang jatuh pada tarikh lahirnya iaitu 31 Ogos, bakal diadakan di Danau Toba mengikut adat Batak manakala resepsinya pula di Jakarta pada bulan September.
Judika dan kekasih hatinya, Duma Risis Silalahi
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment