Sudah Jumpa Bakal Suami

on Saturday, July 27, 2013

Fiza umum sudah temui pengganti dan bakal mendirikan rumah tangga penghujung tahun ini.

BARU-BARU ini, kami di Hits telah menyiarkan cerita tentang penyanyi dan pelakon, Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim atau lebih dikenali sebagai Fiza Elite tentang perkahwinan tidak menjadinya pada Jun lalu.

Sepatutnya kata Fiza, sekarang ini dia sudah menjadi isteri orang, tetapi sebab tak ada jodoh, dia masih lagi solo dan selesa dengan gelaran sebagai ibu tunggal.

Tetapi itu cerita dua minggu lepas. Hari Selasa lalu, kami bertemu Fiza lagi dan ada kisah menarik yang dikongsikan. Tidak mahu mengingati kisah duka tersebut, Fiza yang kini berusia 32 tahun memberitahu dia sudah bertemu dengan bakal suami baharu.

Menariknya, mereka kini sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa beberapa bulan selepas ini.

"Tidak dinafikan perancangan untuk kembali berumah tangga itu sentiasa ada. Insya-Allah, calonnya juga sudah ada sekarang ini. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kami bakal melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini," katanya yang tidak mahu mendedahkan siapakah lelaki yang berjaya menambat hatinya itu.

Namun begitu menurut Fiza, usia perkenalan antara dirinya dengan jejaka misteri tersebut masih baru kerana hubungan mereka menjadi rapat dalam kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

"Kami berkenalan sudah lama juga, tetapi hubungan antara saya dan dirinya menjadi lebih rapat dalam bulan puasa ini.

"Saya yakin semua perkara yang berlaku dalam hidup ini mempunyai hikmah yang tersendiri dan saya berharap masyarakat diluar sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri saya," katanya yang memiliki dua orang anak melalui perkahwinan terdahulu.

Fiza ditemui sewaktu majlis Pratonton Rancangan TV AlHijrah, Syawal Satu Kemenangan yang diadakan, baru-baru ini. Tambah Fiza yang merancang untuk membawa kedua orang tuanya untuk menyambut perayaan bersama-sama di ibu kota tahun ini, individu terbabit merupakan seseorang yang juga berada dalam industri.

Hmm, tuah orang cantik. Putus cinta hari ini, esok sudah ketemu yang baru. Fiza memang mantap!

Bercakap tentang imej barunya, menurut Fiza, setiap individu pasti mempunyai pengalaman tersendir untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna, apatah lagi dengan kedatangan bulan puasa ini.

"Walaupun saya masih baru sahaja mengenakan hijab iaitu pada 6 Jun lalu, tetapi saya bersyukur kerana semua perkara kelihatan tenang dan mudah berbanding waktu-waktu sebelum ini.

"Walaupun beberapa tawaran berlakon terpaksa dibatalkan pada saat akhir dan kurang tawaran baru, saya masih terus mendapat peluang bekerja bagi menggantikan projek yang lalu.

"Apatah lagi dengan kedatangan Ramadan tahun ini, saya berasa lebih tenang dalam meraikannya tidak seperti tahun-tahun sebelum ini," kata Fiza lebih lanjut.

Tambah Fiza lagi, setelah berhijab, dia berasa kekok sekiranya perlu mengenakan sebarang pakaian yang agak ketat dan disebabkan itu, pakaian pilihannya kini adalah baju kurung selain berjubah.

"Memang saya baru sahaja bertudung, tetapi saya nekad tidak mahu mengenakan sebarang pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan lagi selepas ini. Lagipun sekiranya berpakaian sedemikian, perasaan kekok dan tidak selesa itu akan timbul dengan sendirinya," tambah Fiza yang telah mengurangkan aktiviti seni dalam bulan Ramadan ini untuk meningkatkan amalan ibadah.
sumber : http://www.utusan.com.my/

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment