KUALA LUMPUR 26/04/2013 - Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes semakan kehakiman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, hari ini mengingatkan pelajar itu supaya menghormati pemimpin walaupun pegangan politik berbeza.
Hakim Datuk Zaleha Yusuf berkata demikian dalam penghakimannya selepas menolak permohonan Adam Adli untuk mencabar keputusan UPSI yang menggantungnya kerana melanggar peraturan universiti.
Beliau tidak menetapkan sebarang kos setelah mengambil kira pemohon (Adam Adli) adalah seorang pelajar.
Hakim Zaleha berkata, perbuatan Adam Adli di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Disember 2011 telah mendapat publisiti meluas dan sebagai pelajar UPSI, nama UPSI turut tercalit dan pihak universiti berhak mengambil tindakan disiplin terhadapnya.
"UPSI memberitahu mahkamah bahawa Adam Adli telah diberi peluang untuk mengemukakan kesnya dan beliau boleh menghantar wakil. Tetapi pemohon menolak untuk menghantar wakil dalam prosiding jawatankuasa tatatertib UPSI dan tidak memberi sebarang bantahan semasa prosiding dijalankan.
"Beliau tidak hadir walaupun telah dimaklumkan sebelum itu dan Adam Adli hanya menghantar wakil untuk mengetahui keputusan pihak jawatankuasa sahaja," katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment