London: Reading dan Queens Park Rangers tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Liga Kejuaraan selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 pada perlawanan membabitkan dua pasukan tercorot liga itu, malam tadi.
Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk menghidupkan sisa-sisa peluang untuk kekal dalam EPL, namun dengan keputusan itu Reading kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim dalam EPL manakala pasukan berbelanja besar QPR berada dua musim di kalangan pasukan elit EPL.
Chelsea dapat 3 mata
Reading dan QPR masing-masing mengumpul 25 mata dengan berbaki tiga perlawanan, tujuh mata di belakang pasukan tiga tercorot Wigan Athletic. Aston Villa, berada satu tempat di atas zon penyingkiran dengan 34 mata dengan baki empat perlawanan.
Sementara itu, Chelsea mengukuhkan kedudukan dalam perebutan slot automatik Liga Juara-Juara musim depan apabila mengutip tiga mata menewaskan Swansea 2-0 malam tadi, dengan kedua-dua gol dihasilkan pada minit-minit akhir separuh masa pertama.
Oscar meledak gol pertama Chelsea pada minit ke-44 dalam aksi di Stamford Bridge, dan Frank Lampard menambah gol menerusi sepakan penalti seminit kemudian untuk golnya yang ke-201 bagi kelab itu, hanya satu gol lagi untuk menyamai rekod jumlah gol kelab berkenaan jaringan Bobby Tambling.
Lampard masuk menggantikan Oscar yang cedera, dan menjaringkan gol ke-15nya musim ini.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment